Penunggang motosikal buat provokasi di jalan, diburu
KUCHING: Polis sedang memburu seorang lelaki yang menunggang motosikal secara melulu dan melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain, pada 25 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata tindakan lelaki itu dikesan menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 59 saat yang tular di media sosial, semalam.
Katanya, video berkenaan memaparkan sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran QAB649B yang ditunggang oleh seorang lelaki tidak memakai topi keledar telah menunggang secara melulu dan melawan arah jalan.
“Lelaki berkenaan juga dilihat melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahsmon berkata, kejadian dipercayai berlaku di Jalan Tabuan Tranquality, jam 3.10 petang, pada 25 Februari lalu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkaitan kejadian.
“Kami meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenainya bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.
BHOnline