Dagangan Bursa Malaysia bermula tidak menentu
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan bercampur-campur pada sesi pembukaan pagi Selasa, menyaksikan indeks utama berlegar antara untung dan rugi selepas pelabur mengambil pendirian untuk lebih berhati-hati.
Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok sedikit sebanyak 0.93 mata kepada 1,456.43 berbanding penutupan Isnin pada paras 1,455.50.
Indeks utama dibuka 0.99 mata lebih tinggi pada 1,456.49.
Pergerakan harga di pasaran masih negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 235 berbalas 161, manakala 229 kaunter tidak berubah, 1,622 tidak diniagakan dan 55 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 470.73 juta unit bernilai RM167.76 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur masih menantikan data indeks keyakinan pengguna dan Pengurus Pembelian Pembuatan Chicago untuk mendapatkan bayangan akan langkah seterusnya Rizab Persekutuan AS (Fed) dari segi hala tuju kadar faedah.
”Kami menjangkakan sentimen berhati-hati akan berlaku di pasaran tempatan dengan pelabur asing bertindak sebagai penjual bersih, tetapi pada masa yang sama kemunculan kegiatan membeli saham murah terus dipantau,” katanya dalam satu nota.
Sementara itu di pasaran domestik, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata sentimen terhadap pemulihan ekonomi China berbelah bahagi dan pelabur dilihat terus menantikan mesyuarat ‘dua sesi’ di Beijing mulai 4 Mac dengan mengharapkan lebih banyak rangsangan dasar.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Press Metal turun lima sen kepada RM5.10, Digi susut tiga sen menjadi RM4.27, dan Tenaga Nasional kerugian empat sen kepada RM9.60, manakala CIMB, Axiata dan Petronas Chemicals masing-masing lemah satu sen kepada RM5.53, RM3.17 dan RM7.14.
Public Bank dan Maybank pula meningkat empat sen kepada RM4.19 dan RM8.79 dan RHB Bank meningkat tujuh sen kepada RM5.68.
Bagi saham aktif, Velesto turun 8.5 sen menjadi 19 sen, RGB merosot 2.5 sen kepada 21 sen, dan Pharmaniaga lebih rendah 19.5 sen kepada 24.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 10.56 mata kepada 10,594.69, Indeks FBMT 100 menyusut 0.48 mata menjadi 10,277.66 dan Indeks FBM ACE turun 2.72 mata kepada 5,533.99.y
Sementara itu, Indeks FBM Emas Syariah susut 36.53 mata kepada 10,823.49 dan Indeks FBM 70 lemah 30.97 mata kepada 13,403.52.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 60.30 mata kepada 16,191.32, Indeks Tenaga susut 35.62 mata kepada 854.32, Indeks Perladangan meningkat 17.06 mata menjadi 6,786.50, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.85 mata kepada 177.21.
-BERNAMA