Hafizh, Adam harap tuah Litar Mandalika

KUALA LUMPUR: Dua pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Adam Norrodin membuka tirai saingan di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dengan positif namun masih ada ruang yang boleh diperbaiki mereka menjelang Pusingan 2 di Litar Mandalika, Indonesia hujung minggu ini.

Hafizh yang beraksi buat tahun kedua dalam kelas WorldSBK menamatkan dua perlumbaan di Litar Phillip Island, Australia dengan berada di tempat ke-15, 17 dan ke-19 untuk perlumbaan Superpole.

Penamat di tempat ke-15 pada Perlumbaan 1 membolehkan Hafizh memperoleh satu mata berharga untuk berada di tangga ke-18 keseluruhan menjelang Pusingan 2 di Litar Mandalika – trek yang menyaksikan dirinya berjaya memperoleh mata pada kedua-dua perlumbaan musim lalu.

Justeru, pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing HONDA Team berkenaan berharap akan ada peningkatan daripada sudut jentera Honda CBR1000 RR-R menjelang saingan di negara jiran, hujung minggu ini.



“Perlumbaan pertama musim atau perlumbaan sulung (di Australia). Walaupun satu mata namun saya mengharapkan dapat mengumpul mata di setiap perlumbaan. Saya harap pada masa akan datang, pasukan dapat memberikan impak yang lebih besar (jentera).

“Terutamanya di Litar Mandalika, litar yang menyaksikan saya dapat meraih mata (musim lalu). Jadi saya mengharapkan dapat meraih mata di sana dan boleh menunggang dengan lebih baik.

“Buat masa ini, motosikal masih belum serasi dengan corak tunggangan saya lagi, jadi saya harap, pada masa akan datang, ia akan menjadi lebih baik,” kata pelumba berusia 28 tahun itu.

Pada tahun lalu, Hafizh menamatkan kempen 2022 dengan 10 mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan.



Dalam pada itu, Adam yang membuat penampilan sulung dalam kelas WorldSSP bersama pasukan PETRONAS MIE MS Racing HONDA Team memperoleh lima mata selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-12 dan ke-15 di Perlumbaan 2.

“Saya gembira kerana dapat meraih satu mata (Perlumbaan 2), namun sedar yang ia akan menjadi lebih mencabar di Indonesia minggu ini. Apapun, kami akan kekal dengan motivasi sedia ada dan terus positif,” kata Adam.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker