2 kereta api bertembung di Greece, 26 maut

ATHENS: Sekurang-kurangnya 26 mangsa terbunuh dan 85 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung di antara bandar Athens dan Thessaloniki di tengah Greece lewat malam tadi, menurut pegawai bomba.

Anggota bomba dan pasukan penyelamat masih bertungkus lumus mengeluarkan penumpang selepas sekurang-kurangnya tiga gerabak terbakar, kata pihak bomba.

Pegawai hospital di Larissa berkata, hospital itu menerima sekurang-kurangnya 60 orang cedera termasuk 25 serius lewat malam tadi, susulan kemalangan dekat Tempe, kira-kira 380 kilometer (km) ke utara Athens .



Gabenor Thessaly, Costas Agorastos, memberitahu media tempatan bahawa pertembungan dua kereta api itu amat kuat dan suasana di lokasi kemalangan amat menyayat hati.

“Pelanggaran amat kuat sehingga menyebabkan empat gerabak tergelincir dari landasan termasuk dua yang hampir musnah sama sekali.

“Setakat ini , kita sudah berjaya memindahkan kira-kira 250 penumpang yang terselamat menggunakan bas ke Thessaloniki,” katanya.



Media rasmi ERT melaporkan, puluhan penumpang cedera selepas kereta api penumpang bertembung dengan kereta api kargo.

Pihak bomba belum dapat mengesahkan jumlah mangsa atau punca kemalangan itu tetapi sudah berjaya memadamkan api.

Menurut laporan setakat ini, ‘beberapa penumpang’ berjaya ditarik keluar dari lokasi kemalangan dalam keadaan pengsan, dekat bandar Larissa, hamp[ir tengah malam tadi.



Penyiar SKAI menunjukkan gambar gerabak kereta api yang tergelincir dari landasan dengan kerosakan teruk dan tingkap yang pecah manakala kepulan tebal asap hitam menjulang ke udara serta serpihan berselerakan.

Pekerja penyelamat membawa lampu suluh memeriksa lokasi kemalangan bagi mencari penumpang yang mungkin tersepit.

“Suasana panik menyelubungi gerabak kami, ramai orang menjerit,” kata seorang lelaki yang berjaya dibawa keluar dan berlindung di bawah jambatan berdekatan.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button