Arsenal belasah Everton 4-0

LONDON: Gabriel Martinelli beraksi cemerlang ketika Arsenal mencipta jurang lima mata di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan 4-0 mengatasi Everton awal pagi tadi.

Bukayo Saka memecahkan benteng degil Everton pada penghujung babak pertama sebelum penyerang Brazil, Martinelli menggandakan kelebihan Arsenal di Stadium Emirates.

Martin Odegaard mencetak gol ketiga dan Martinelli melengkapkan kemenangan terbesar Arsenal sejak Oktober yang boleh mencetuskan satu lagi petanda kebangkitan mereka mengejar gelaran.



Adalah penting buat skuad kendalian Mikel Arteta untuk menang perlawanan ini bagi mencipta jurang berdepan pasukan tangga kedua, Manchester City ketika pemburuan gelaran semakin menghampiri penamat.

Berbaki 13 perlawanan lagi, kemenangan mengekalkan Arsenal di kedudukan petak depan untuk menang gelaran buat pertama kali sejak Arsene Wenger melakukan ‘Invincibles’ pada 2003-04.

“Selepas kami menjaringkan gol pertama, perlawanan menjadi terbuka. Kami perlukan saat magis dan Bukayo memberikannya. Selepas itu kami beraksi lebih baik dan berhak menang perlawanan ini,” kata Arteta.



“Ia adalah satu petunjuk kami sudah berada di sini dan kami mahu meneruskannya.”

Selepas melalui tiga aksi tanpa kemenangan yang menyingkirkan mereka dari persada selepas kemenangan 3-1 City di Emirates, Arsenal sudah bangkit dengan baik.

Tiga kemenangan berturut-turut sejak kekalahan di tangan City memberikan Gunners 60 mata, jumlah mata terkumpul bersama terbanyak selepas 25 aksi EPL berbanding kempen pada 2003-04 dan 2007-08.

“Saya gembira melihat pasukan bermain dengan cara yang kami mahukan. Liga ini memberikan cerita berbeza,” kata Arteta.



“Kami sudah membuktikan sesuatu yang besar selepas apa yang berlaku di Goodison. Saya gembira dengan kematangan dan kualiti yang kami tunjukkan.”

Sean Dyche memulakan kerjayanya di Everton dengan mencipta kemenangan mengejut 1-0 berdepan Arsenal di Goodison Park pada 4 Februari.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button