Penyerang legenda Perancis meninggal dunia

Paris: Just Fontaine, penyerang legenda Perancis yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, hari ini, akan dikenang kerana menjaringkan 13 gol di Piala Dunia 1958.

Setakat ini, hanya tiga pemain menjaringkan lebih banyak gol Piala Dunia berbanding Fontaine, walaupun dia hanya bermain enam perlawanan dalam satu edisi sahaja.

Hanya penyerang Jerman, Miroslav Klose (16), penyerang Brazil, Ronaldo (15) dan hero Jerman Barat pada 1970-an, Gerd Mueller yang menjaringkan 14 gol, menjaringkan lebih banyak gol di Piala Dunia.



Lionel Messi menyamai jumlah jaringan Fontaine ketika Argentina muncul juara di Qatar 2022, tetapi dia memerlukan lima edisi Piala Dunia untuk mencapainya.

Piala Dunia 1958 di Sweden dikenang ramai dengan kemunculan Pele yang ketika itu berusia 17 tahun membantu Brazil muncul juara apabila meledak hatrik ketika menang 5-2 ke atas Perancis di separuh akhir.



Bagaimanapun, Fontaine meraih pencapaian peribadi pada perlawanan penentuan tempat ketiga dengan Jerman Barat dan mengesahkan dia menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button