Kos PRU15 dijangka cecah lebih RM1 bilion

PRU15, rakyat terus menunggu untuk kerajaan baru

KUALA LUMPUR: Kos penganjuran pilihan raya umum (PRU) kebiasaannya hanya membabitkan perbelanjaan sekitar ratusan juta sebelum ini, namun PRU ke-15 (PRU15) yang perlu diadakan sebelum Julai tahun depan kosnya dijangka mencecah hingga lebih RM1 bilion.

Jumlah itu adalah dua kali kos menganjurkan PRU-14 iaitu sekitar RM500 juta manakala perbelanjaan bagi PRU13 adalah sekitar RM400 juta.

Perkara itu disahkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, yang menganggarkan kos bagi pelaksanaan PRU15 adalah kira-kira RM1.01 bilion.



Beliau berkata, perbelanjaan besar itu termasuk bagi menampung peningkatan jumlah pengundi baharu melalui pelaksanaan had umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu.

Pertambahan pengundi baharu tingkatkan kos pilihan raya

Ia sekali gus akan menyebabkan berlakunya pertambahan pusat mengundi, saluran mengundi, petugas pilihan raya dan pembelian peralatan untuk menjayakan PRU-15 yang boleh diadakan bila-bila masa.

“SPR mengambil tindakan yang perlu bagi membuat persiapan sewajarnya sekiranya PRU15 dilaksanakan pada tahun ini.



“Namun SPR perlu mengambil kira dan memastikan keselamatan semua aspek dan individu sama ada petugas, calon serta pengundi.

“Dalam konteks PRU15 nanti ada peningkatan jumlah pengundi baharu, maka akan berlaku pertambahan pusat mengundi, saluran mengundi, petugas pilihan raya dan pembelian peralatan,” katanya kepada BH.

Pada PRU-14 lalu, perbelanjaan dikeluarkan bagi menampung keseluruhan perjalanan pilihan raya adalah sekitar RM500 juta iaitu meningkat RM100 juta daripada PRU-13 sebelumnya.

Pembabitan pengundi berusia 18 tahun dan pendaftaran pemilih buat kali pertama kali dilaksanakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Mac lalu.



Namun daripada 54.92 peratus keseluruhan keluar mengundi yang direkodkan SPR, peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus.

SPR kaji laksana pilihan raya secara elektronik

Pada masa sama, Abdul Ghani berkata, suruhanjaya itu sedang menjalankan kajian mengenai kebolehpercayaan dan daya maju untuk melaksanakan pilihan raya secara elektronik di Malaysia.

Namun, beliau berkata, sehingga kini SPR belum membuat sebarang keputusan berikutan kajian terbabit masih berjalan.



Ditanya sama ada kajian dilaksanakan bagi mewajibkan mengundi dalam kalangan rakyat Malaysia, katanya, peruntukan perundangan semasa tidak menetapkan mengundi adalah mandatori kepada warganegara Malaysia menjadi pemilih berdaftar.

“Sehubungan itu, tiada kajian dilaksanakan pada masa ini sehingga perkara ini diputuskan sebaliknya,” katanya.

Mengenai inisiatif bagi ‘mencelikkan’ pengundi muda terhadap kepentingan sistem demokrasi ini, Abdul Ghani berkata, Akademi Pilihan Raya (APR) sudah mula melaksanakan Program Pendidikan Pengundi sejak 2017.

Katanya, ia bagi membolehkan segenap lapisan masyarakat diberi kefahaman terhadap pentingnya demokrasi, aplikasi demokrasi melalui platform pilihan raya dan proses pilihan raya yang dijalankan di Malaysia.



“Ia juga menjelaskan mengenai tanggungjawab seorang pengundi dan implikasinya terhadap negara serta menjelaskan isu serta cabaran yang sering dibangkitkan ketika pilihan raya diadakan.

“Malah, dengan berkuatkuasanya penurunan had umur pemilih daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, APR giat dan aktif melaksanakan program pendidikan itu melalui kerjasama pelbagai pihak.

“Ia bukan saja membabitkan agensi kerajaan namun pertubuhan, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya capaian ilmu pengetahuan ini mencakupi segenap lapisan masyarakat Malaysia,” katanya.

SPR kerjasama pelbagai agensi tingkatkan tahap celik demokrasi golongan muda



Abdul Ghani berkata, antara agensi kerajaan yang kini bekerjasama dengan SPR adalah organisasi yang terbabit sepenuhnya dengan belia iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan universiti awam serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Turut memberi kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan agensinya seperti Jabatan Penerangan (JAPEN).

“Agensi ini sudah merangka program masing-masing bagi memastikan capaian ilmu pengetahuan mengenai pilihan raya itu sampai kepada golongan sasar terutama kumpulan anak muda yang juga pengundi kali pertama.

“Malah, NGO juga dibabitkan sebagai satu tindakan inklusiviti memberikan kesan positif dalam mendekati golongan anak muda ini, seterusnya mendidik mereka,” katanya.

Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dianggarkan 7.8 juta pengundi baharu boleh mengundi pada PRU-15, termasuk 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun.

Difahamkan, sejumlah 21,090,980 pemilih direkodkan sehingga Jun lalu, meliputi pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik layak mengundi.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading