Azlan Shah tetap membara biarpun sudah cecah usia `maghrib’

KUALA LUMPUR: Walaupun menyifatkan dirinya sebagai ‘sudah maghrib’, Azlan Shah Kamaruzaman tetap bersyukur masih diberi kepercayaan meneruskan karier sebagai pelumba pasukan ONEXOX BMW TKKR Team pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2023.

Juara pertama ASB1000cc yang diperkenalkan di peringkat Asia pada 2019 berusia 38 tahun itu berkata, dia akan berusaha memberikan saingan sengit kepada pencabarnya kali ini dengan menggunakan jentera BMW model baharu.

Selain itu, Azlan Shah yang pernah meraih gelaran juara kelas perdana sebelum edisi 2019 iaitu SuperSports 600cc pada 2013 dan 2017 berkata, dia juga memikul tanggungjawab sebagai pengurus pasukannya sendiri AS25 HONDA RACING TEAM pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia dalam kelas WIRA.



“Syukur pada tahun ini saya masih diberi mandat berlumba lagi walaupun umur semakin menjelang ‘maghrib’. Saya diberikan kepercayaan berlumba di ARRC bersama pasukan ONEXOX TKKR dan saya masih menguruskan pasukan saya sendiri di Cub Prix untuk kelas WIRA.

“Ini adalah satu platform untuk saya mencungkil bakat muda menjadi pelumba profesional pada satu hari nanti,” kata Azlan yang pernah mewakili negara pada pentas Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 secara musim penuh pada 2014 dan 2015.

Musim lalu, gelaran juara Asia bagi kelas ASB1000cc menjadi milik pelumba Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Zaqhwan Zaidi dengan mengumpul 157 mata manakala Azlan Shah menamatkan kempen ditangga ketujuh, 82 mata.



“Setiap tahun, saya sangat positif. Walaupun ada sedikit kesukaran tetapi pada tahun ini, kita akan menggunakan jentera model baharu… M Spec. Jadi dengan model baharu ini, saya harap kita dapat memberi saingan lebih sengir di kelompok depan dan cuba bersaing mendapatkan gelaran keseluruhan,” kata Azlan Shah.

Ujian rasmi pra musim 2023 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand dari 21 hingga 22 Mac ini sebelum pusingan pertama membuka tirainya dua hari kemudian di litar sama.

Kempen 2023 dijadual berlangsung sebanyak enam pusingan dengan Malaysia menjadi venue bag Pusingan 2 dari 12 hingga 14 Mei ini.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button