Chong Wei sebak kenang pengorbanan lalu

Kuala Lumpur: “Tiada BAM (Persatuan Badminton Malaysia), tiada Lee Chong Wei.”

Itu antara ungkapan diluahkan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang gagal menahan diri daripada terus mengalirkan air mata ketika patung lilinnya dipamerkan buat kali pertama dalam satu majlis di sebuah hotel di ibu kota hari ini hasil rekaan Madame Tussauds Hong Kong.

Menurut Chong Wei, beliau menzahirkan penghargaan bukan sahaja kepada badan induk badminton negara tetapi juga kepada semua pihak yang turut serta dalam menyumbang dan menyokong perjalanan kariernya selama ini.



“Saya perlu berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya BAM. BAM sentiasa bersama saya daripada saya tiada apa-apa sehinggalah saya ada sesuatu (pelbagai kejayaan yang diraihnya).

“Saya akui perjalanan kerjaya saya seperti ‘roller coaster’. Paling saya ingat adalah ketika untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016 yang mana saya berdepan kes doping, ranking saya jatuh ke-182.

“Tetapi dengan sokongan semua pihak terutamanya BAM, saya dapat kembali sebagai pemain nombor satu dunia dalam tempoh 11 bulan.



Saya juga berterima kasih kepada barisan jurulatih yang pernah membimbing saya seperti Datuk Misbun Sidek, Datuk Rashid Sidek, Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock yang banyak membantu saya. Kalau kita mahu berjaya, kita tidak boleh seorang-seorang, perlu ada pasukan yang berada di belakang kita,” katanya.

Turut hadir pada majlis hari ini Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abdul Halim selain Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Dalam pada itu Hannah berkata, kejayaan Chong Wei yang menjadi wakil atlet pertama Malaysia dipamerkan di muzium berkenaan adalah satu kebanggaan negara yang perlu dicontohi oleh semua atlet muda masa kini.

“Saya amat gembira kerana Madame Tussauds Hong Kong telah menghasilkan patung lilin Lee Chong Wei, yang merupakan kebanggaan negara.



“Kami sungguh berbangga dengan jaguh sukan tanah air kita ini, dan ingin mengucapkan tahniah kepada beliau kerana memperoleh pengiktirafan global ini.

“Kementerian Belia dan Sukan sangat komited untuk menyerlahkan potensi sukan negara kita, dan kami berharap pencapaian Chong Wei akan menjadi peringatan dan motivasi kepada mereka untuk berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button