All England fokus utama beregu utama negara

KUALA LUMPUR: Juara bertahan beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meletakkan All England 2023 sebagai fokus utama mereka dalam tiga siri kejohanan Eropah, disertai bulan ini.

Walaupun mengunci mulut mengenai sasaran sebenar mereka, Aaron sebaliknya berharap agar dapat ‘meloloskan diri’ sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir, bermula dengan kejohanan Terbuka Jerman pada 8 hingga 13 Mac diikuti All England 2023 (14 hingga 19 Mac) dan Terbuka Switzerland (21 hingga 26 Mac).

Beliau berkata mereka yang bakal turun sebagai pilihan pertama di Terbuka Jerman, akan menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan persediaan untuk tampil lebih meyakinkan pada All England, yang juga kejohanan badminton tertua dunia itu.

“Setakat ini, persediaan dari segi fizikal dan kecergasan semua okey. Walaupun kami pilihan utama di Terbuka Jerman, namun kami harap takkan beri tekanan kepada diri sendiri dan cuba buat yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Pasangan nombor dua dunia yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama Terbuka Jerman itu, dijadual bertemu sama ada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau gandingan Jepun Akira Koga-Taichi Saito, pada pusingan kedua.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 itu, akan membuka tirai cabaran All England 2023 menentang pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, manakala pasangan tuan rumah, Arthur Boudier-Minh Quang Pham menanti mereka pada pusingan pertama Terbuka Swiss di Switzerland.

Mengenai cabaran dari Leo-Daniel di All England, Aaron berkata mereka perlu berwaspada dengan peningkatan prestasi pasangan Indonesia itu, biarpun mempunyai rekod bersih dengan menang kesemua empat perlawanan sebelum ini, sejak kali pertama bertemu pada Terbuka Thailand 2021.

“Kita tahu bukan senang nak lawan mereka, walaupun pernah bertemu sebelum ini tetapi kita akan lawan dan bersedia 100 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran terkini dalam kategori mereka, beliau mengakui semua pasangan yang berada dalam kedudukan 30 terbaik, mampu memberi saingan sengit antara satu sama lain termasuk pasangan utama dunia lain.

Pemain berusia 26 tahun itu pada masa sama berharap agar beliau dan Wooi Yik dapat mengekalkan konsistensi, sekali gus berada dalam kelompok lapan terbaik dalam ranking dunia sebelum kempen kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Peranics bermula Mei ini.

Sementara itu, Aaron sempat berpesan kepada tiga pasangan baharu iaitu Muhammad Haikal Nazri-Nur Izzuddin Rumsani, Goh Sze Fei-Choong Hon Jian dan Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, agar fokus dengan pasangan masing-masing dan melupakan episod perpisahan dialami sebelum ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini melakukan rombakan terhadap tiga pasangan negara, selepas Nur Izzuddin nekad untuk berpisah dengan pasangan beregunya Sze Fei atas alasan hilang kepercayaan.

Situasi itu menyaksikan Muhammad Haikal yang sebelum ini bergandingan bersama Wan Muhammad Arif sejak 2019, terpaksa dipecahkan bagi memberi laluan kepadanya, bergandingan bersama Nur Izzuddin.

Wan Muhammad Arif pula dipasangkan dengan Roy King, yang juga merupakan pemain beregu campuran bersama Valeree Siow, manakala Sze Fei membentuk gabungan bersama Hon Jian.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker