Hafizh Syahrin pamer peningkatan di Mandalika

KUALA LUMPUR: Pelumba negara dalam kelas WorldSBK di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah menunjukkan peningkatan daripada sudut catatan masa sepusingan pada sesi latihan bebas Pusingan 2 di Litar Mandalika, Lombok, Indonesia, hari ini.

Hafizh yang mewakili pasukan PETRONAS MIE Racing HONDA Team, melakukan catatan 1 minit 37.087 saat (s) pada sesi latihan bebas pertama yang menyaksikan pelumba Aruba.it Racing – Ducati, Michael Ruben Rinaldi menguasai sesi dengan 1’34.613s.

Pelumba berusia 28 tahun itu kemudian menemui catatan lebih baik pada sesi latihan bebas kedua, melakukan 1’36.031s manakala Rinaldi terus menunjukkan penguasaan dengan melakukan catatan terpantas, 1’32.468s.

Esok, bekas pelumba Moto2 dan MotoGP di Kejuaraan Motosikal Dunia itu dijadual menyertai sesi latihan bebas ketiga sebelum meneruskan saingan Superpole dan Perlumbaan 1 di litar yang menjadi kegemarannya itu.

Pada pusingan pembuka tirai 2023 di Litar Phillip Island, Australia minggu lalu, Hafizh memulakan kempen keduanya di WSBK dengan meraih satu mata selepas melengkapkan Perlumbaan 1 di tempat ke-15.

Sebelum ini, Hafizh mengakui dia memperoleh suntikan semangat dengan keputusan diraihnya di Australia namun menjelaskan masih ada ruang peningkatan yang boleh dilakukan untuk mencipta keputusan lebih baik di Indonesia.

Pada musim lalu, Hafizh menamatkan kempen dengan mengutip 10 mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan.

Dalam pada itu, saingan di Mandalika menyaksikan seorang lagi wakil negara yang menyertai kelas WorldSSP bersama pasukan PETRONAS MIE MS Racing HONDA Team, Adan Norrodin terkeluar daripada syarat catatan masa ditetapkan pada sesi latihan bebas pertama.

Adam yang membuat penampilan sulung di WSBK mencatat 1’47.557s sekali gus berada dalam senarai lima pelumba yang dibawah syarat catatan ditetapkan (105 peratus daripada catatan dilakukan pelumba di tempat pertama), 1’44.391s.

Sesi latihan bebas pertama dikuasai pelumba Aruba Racing WorldSSP Team, Nicolo Bulega dengan catatan 1’39.420s.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker