Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat

Kuantan: Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat kepada 2,271 orang daripada 691 keluarga yang kini berada di 23 pusat penempatan sementara (PPS) di lima daerah setakat jam 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, lima daerah itu membabitkan Rompin, Temerloh, Maran, Pekan dan Bera selepas PPS Jerantut dan Raub ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Berbanding jam 8 pagi tadi, seramai 2,031 mangsa daripada 582 keluarga berada di 30 PPS di tujuh daerah.



Berdasarkan rekod, Rompin merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,826 orang diikuti Temerloh dengan 173 orang.

Maran dan Pekan, masing-masing merekodkan 137 orang dan 106 orang manakala 29 orang pula di Bera.

Sementara itu, paras air empat sungai di Pahang melepasi paras bahaya setakat jam 4.30 petang ini.



Sungai berkenaan ialah Sungai Keratong di Jambatan Bahau, Keratong di Rompin, Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Triang di Bera.

Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan dan Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran pula melepasi paras amaran.

Paras air di sembilan sungai yang melepasi paras waspada ialah di Sungai Belat di Seri Damai, Kuantan dan Sungai Pahang di Kampung Chenor, Maran.

Selain itu Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang dan Sungai Pahang di Waterfront, Bera.



Ia diikuti Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Sungai Semantan di Kampung Mempateh, Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh dan Sungai Pahang di Jerantut Feri, Jerantut.

METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading