Permohonan Tengku Zafrul fail afidavit ditolak

Oleh – Syeikh Baran


Permohonan Tengku Zafrul fail afidavit ditolak
Tengku Zafrul

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk memfailkan afidavit bagi membetulkan ‘kesilapan fakta’ berhubung permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan tahanan rumah.

Hakim Amarjeet Singh membuat keputusan tersebut dalam kamarnya.



Bagaimanapun Tengku Zafrul boleh memohon semula sekiranya mahkamah sivil memberikan kebenaran kepada Najib pada 5 Jun ini untuk memulakan semakan kehakiman tahanan rumah.

Perkara itu dimaklumkan peguam Najib, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui media di sini.

Dalam pada itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan berkata, mahkamah menolak permohonan itu di atas alasan tiada peruntukan undang-undang untuk individu bukan pihak dalam prosiding semakan kehakiman memfailkan afidavit.

Hari ini ditetapkan permohonan Tengku Zafrul untuk memfailkan afidavit dalam kes yang dikemukakan Najib berkait perintah tambahan penahanan rumah yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu.



Pada minggu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mahu memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung tahanan rumah Najib.

Beliau berkata pendirian memfailkan afidavit itu yang dibuat selepas mendapat nasihat undang-undang bukan untuk mempertikaikan merit isu sedang berlangsung.

Dalam afidavit difailkan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu, beliau mendakwa melihat perintah tambahan untuk Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Menurut afidavit tambahan yang difailkan oleh Ahmad Zahid pada 9 April lalu, selain mengesahkan telah melihat dan membaca Titah Adendum tersebut, Ahmad Zahid turut menyatakan selain dirinya dan Tengku Zafrul; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota kerajaan lain telah melihat salinan Titah Adendum tersebut dan boleh mengesahkan perkara sama.



Bagaimanapun, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai salinan titah tersebut memandangkan titah berhubung tahanan dalam rumah itu belum dilaksanakan namun percaya bahawa Peguam Negara mempunyai salinan titah tersebut.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit yang difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu.

Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.



Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini.

Pada 14 Februari, Najib te­lah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Peguam Negara yang turut di­salinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid bagi memohon pengesahan berhubung Titah Adendum tersebut.

Peguam Najib turut memohon salinan asal titah utama dari Penjara Kajang tetapi tidak dijawab sehingga kini.

Najib mendakwa, kegagalan kesemua responden menjawab surat atau mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak munasabah, me­nyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading