Peragut menangis dipenjara lima tahun, dua sebatan

Oleh – Syeikh Baran


Peragut menangis dipenjara lima tahun, dua sebatan
Muhammad Syafi’ei ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini. FOTO: SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Seorang lelaki yang tular kerana meragut seorang gadis sehingga cedera pada minggu lalu menangis selepas dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Syafi’ei Hasan, 24, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.



Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 April lalu.

Ini merupakan kali kedua tertuduh menjalani hukuman penjara. Sebelum ini lelaki itu dipenjara empat bulan atas kesalahan dadah sebelum dibebaskan pada 1 April lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syafi’ei didakwa merompak dan mencederakan mangsa yang berusia 20 tahun di Jalan Persiaran Raja Muda Musa berhadapan Sekolah Menengah Perempuan Raja Zarina di sini pada pukul 8.50 pagi, 15 April lalu.

Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.



Terdahulu, pada prosiding tersebut, tertuduh dilihat menangis dan mengesat air mata dengan menggunakan baju ketika membuat rayuan di hadapan hakim.

“Mohon hukuman diringankan saya tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi.

“Saya insaf dan menyesal atas perbuatan saya tambahan pula kedua-dua ibu bapa saya telah tua masing-masing berusia 64 dan 67 tahun. Mereka mempunyai penyakit darah tinggi dan gout,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi menjelaskan, kejadian tersebut menyebabkan mangsa parah dan boleh meragut nyawa.



Tegasnya, Ia kesalahan serius dengan pengakuan salah awal tertuduh tidak menjamin ‘diskaun’ hukuman.

“Seperti di dalam video tular, mangsa dalam kes ini terjatuh atas jalan dan bernasib baik tiada kenderaan lalu ketika itu.

“Terdapat kamera papan pemuka kenderaan merakam kejadian tersebut. Pihak pendakwaan menekankan kepentingan awam dan di Klang banyak kejadian ragut, Mohon hukuman berat,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan perjalanan seorang gadis menuju ke tempat kerja bertukar malang apabila dia diragut sehingga cedera di tangan, lutut dan bahu akibat terjatuh daripada motosikalnya di Jalan Persiaran Raja Muda Musa di sini, Isnin lalu.



Kejadian tular pukul 8.50 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 20 tahun cedera di tangan dan kaki selain mengalami kerugian sebanyak RM3,000 selepas beg silangnya yang mengandungi telefon bimbit Iphone 14, dokumen peribadi dan wang tunai RM114. dilarikan peragut.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan kira-kira pukul 4.15 petang pada Ahad lalu ketika sedang makan di sebuah kedai di Pekan Kuah, Langkawi.

Sumber – KOSMO!ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading