Padah lumba haram

Klang: Lelaki maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan ketika dipercayai berlumba haram di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan polis mendapati kemalangan berlaku di jalan dari arah Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang, pada 1.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan oleh sekumpulan penunggang motosikal bersaing sesama sendiri dengan menunggang secara laju, melulu dan membahayakan diri di jalan awam.

“Kedua-dua penunggang motosikal (dalam kumpulan terbabit) bergesel sesama sendiri dan tidak dapat mengawal motosikal lalu terjatuh di atas jalan raya.



“Akibat kemalangan itu, seorang disahkan maut, manakala seorang lain parah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Hoong Fong berkata, kedua-dua mangsa lelaki tempatan berumur 19 tahun dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut pada 2 pagi.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia pada 6.50 pagi dan kakak mangsa sudah hadir ke Balai Polis Trafik Klang membuat laporan polis.

“Seorang lagi mangsa masih dirawat di zon merah kerana mengalami kecederaan dalaman membabitkan jantung, buah pinggang dan paru-paru,” katanya.



Mengulas mengenai kumpulan lumba haram itu pula katanya, pihaknya masih mengesan kumpulan terbabit untuk dirakam percakapan.

“Kumpulan itu dipercayai lebih daripada 10 orang. Kumpulan berlumba belum dikenal pasti. Kita akan kesan dan panggil untuk dirakam percakapan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker