A Aida takkan beri ‘job’ kepada Hafidz Roshdi

KUALA LUMPUR: Penerbit popular, Datuk A Aida enggan menawarkan Hafidz Roshdi peluang berlakon dalam drama atau filem terbitan syarikatnya, A Aida Production, gara-gara kontroversi membabitkan aktor itu.

Aida atau nama sebenar, Zaidah Awang membuat keputusan itu atas sentimen ditunjukkan masyarakat selain tidak mahu perilaku Hafidz memberi kesan kepada drama atau filem terbitannya jika aktor terbabit ditawarkan berlakon.

“Bagi saya, apa yang dilakukan (Hafidz) menyentuh sensitiviti masyarakat. Jadi, ini akan membuat penonton beremosi. Ini tidak bagus untuk syarikat produksi saya andai perkara seumpama itu terjadi.



“Jadi, saya tidak akan ambil pelakon seperti dia. Kalau dia ada, drama saya mungkin tiada ‘rating’. Ini salah satu kemungkinan sahaja. Sama ada drama itu ‘meletup’ atau dikecam. Disebabkan itu, saya mahu elak,” katanya kepada BH Online.

Hafidz berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangganya menjadi perbualan hangat dalam laman media sosial susulan isu curang.

Khamis lalu, isteri Hafidz, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan pada bahagian mata.

Difahamkan kejadian berlaku semasa mangsa bersama-sama dengan suaminya berada dalam kereta di R&R Sungai Buloh.



Hafidz dilapor menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu.

Bagaimanapun, A Aida berkata, andai Hafidz menyesal atas perbuatannya itu, beliau sedia menimbang semula peluang menawarkan ‘job’ kepada pelakon terbabit.

Tambah Aida, beliau sedia memberi peluang kepada pelakon sensasi beraksi dalam projek syarikat produksi miliknya bergantung kepada masalah menghambat mereka.

“Seperti sekarang, Ismail Izzani sedang menjayakan penggambaran bersama syarikat produksi saya. Untuk hal ini, saya tiada masalah.



“Apa yang saya tahu, masalah Ismail bersifat peribadi. Namun, kalau masalah artis membabitkan orang lain seperti mengasari wanita dan menyentuh sensitiviti masyarakat, saya tidak akan ambil berlakon.

“Ismail bagi saya, pelakon yang bagus. Setiap hari dia datang ke lokasi penggambaran tepat pada waktunya. Dia tiada masalah dan sanggup belajar.

“Misalnya, dalam menguasai bahasa isyarat, kita panggil guru untuk Ismail belajar dan dia cepat ‘tangkap’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, A Aida berkata, syarikat produksinya giat menyiapkan penggambaran untuk saluran Salam HD.



“Saya menjadi penyedia kandungan di mana saya dipertanggungjawabkan Telekom Malaysia Berhad untuk mengendalikan saluran Islamik di Unifi TV iaitu Salam HD.

“Saya buat semuanya. Jadi, dalam sebulan, kami buat penggambaran untuk lima hingga enam judul. Disebabkan sibuk dengan Salam HD, bagi stesen lain, saya hanya buat untuk TV3,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button