Conte lonjak semangat Spurs jumpa AC Milan
LONDON: Antonio Conte akan kembali bersama Tottenham menjelang aksi timbal balik 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah menentang AC Milan esok (awal pagi Khamis).
Pengendali Spurs itu tidak dapat bersama pasukan dalam empat perlawanan lalu kerana masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan pundi hempedu.
Kemenangan 2-0 ke atas West Ham dan Chelsea memberi isyarat yang Tottenham kembali berada di landasan tepat untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Namun ia dibayangi dengan kekalahan 1-0 kepada pasukan Liga Kejuaraan, Sheffield United pada pusingan kelima Piala FA dan disusuli dengan kekalahan liga dengan keputusan sama di tangan Wolves Sabtu lalu.
Spurs ketika ini menghuni tangga keempat liga, namun pemburuan untuk trofi pertama sejak tahun 2008 tampak seperti akan terus berlanjutan.
Selepas tewas 1-0 di San Siro, Tottenham akan melayan kunjungan AC Milan di Stadium Tottenham Hotspur dan kepulangan Conte diharap dapat membawa mereka ke suku akhir.
Pertahanan Tottenham, Ben Davies mengakui kehadiran Conte sangat penting pada pertemuan dengan Milan itu.
“Sudah agak lama sekarang tetapi kami mempunyai perlawanan besar pada Rabu dan amat penting untuk dia bersama kami,” kata Davies.
AFP