Chelsea ke suku akhir

LONDON: Chelsea kekal bernyawa musim ini selepas menewaskan Borussia Dortmund 2-0 di Stamford Bridge untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan agregat 2-1.

Raheem Sterling dan Kai Havertz – yang menyempurnakan penalti selepas sepakan kedua – menjaringkan gol-gol Chelsea sekali gus meredakan tekanan ke atas pengendalinya, Graham Potter.

Masa depan Potter terancam selepas Chelsea hanya menang tiga kali dalam 16 perlawanan dan tercicir ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris serta tersingkir awal dalam kejohanan domestik.



Bagaimanapun bintang-bintang mereka menyerlah tepat pada masanya untuk memburu Kejuaraan Eropah ketiga.

“Suasana dalam bilik persalinan amat menakjubkan. Kami mengharungi tempoh yang sukar dan kejohanan ini amat bermakna buat kami.

“Kami mahu mara ke kelompok lapan terakhir,” kata Potter.



Dortmund tiba di England dengan reputasi cemerlang selepas memenangi 10 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Namun pelawat gagal memberikan ancaman terhadap gawang tuan rumah di babak pertama yang menyaksikan sepakan percuma Marco Reus diselamatkan Kepa Arrizabalaga.

“Kami akui, selepas dua perlawanan, Chelsea berhak untuk mara. Kedua-dua perlawanan amat sengit. Dalam perlawanan sebegini, butiran kecil menentukan anda mara ke pusingan seterusnya atau tidak,” kata pengendali Dortmund, Edin Terzic.

Sterling membuka jaringan tiga minit sebelum rehat selepas mendapat hantaran Ben Chilwell. Ia adalah gol ketiga Chelsea dalam lapan perlawanan.



Penalti Havertz di awal babak kedua terpaksa diambil dua kali sebelum penyerang Jerman itu menemui sasaran.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button