Penyokong Liverpool dapat bayaran balik tiket

LONDON: UEFA akan membuat bayaran balik kepada penyokong Liverpool yang menghadiri perlawanan akhir Liga Juara-Juara tahun lalu di Paris, kata badan induk bola sepak Eropah, hari ini, selepas laporan bebas mengatakan mereka bertanggungjawab terhadap kekecohan di luar stadium.

Perlawanan akhir tertangguh selama 36 minit selepas ribuan penyokong Liverpool tidak dapat masuk ke Stade de France untuk perlawanan pada 28 Mei, yang dimenangi Real Madrid 1-0.

Polis Perancis dirakam menggunakan gas pemedih mata terhadap peminat termasuk wanita dan kanak-kanak.

Walaupun UEFA pada mulanya menyalahkan penyokong kelab Merseyside atas kekecohan itu, badan induk berkenaan kemudian memohon maaf berikutan ulasan bebas yang dikeluarkan.

“Kami mengambil kira sejumlah besar pandangan yang dinyatakan secara terbuka dan secara peribadi serta kami percaya sudah merangka satu skim yang komprehensif dan adil,” kata Setiausaha Agung UEFA, Theodore Theodoridis dalam satu kenyataan.

“Kami menghargai input daripada organisasi penyokong Liverpool FC termasuk Spirit of Shankly (SOS) serta dialog terbuka dan telus sepanjang tempoh ini.

“Kami mengiktiraf pengalaman negatif penyokong mereka pada hari itu. Dengan skim ini kami akan membayar balik peminat yang membeli tiket dan paling terjejas oleh kesukaran untuk mengakses stadium.”

UEFA berkata, bayaran balik akan diberikan kepada semua peminat dengan tiket untuk pintu A, B, C, X, Y dan Z yang mana tempat “keadaan paling sukar dilaporkan”.

– REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker