Pengusaha cuci kereta lega terlepas tali gantung edar dadah

Oleh – Syeikh Baran


Pengusaha cuci kereta lega terlepas tali gantung edar dadah
MOHAMAD FAEZ terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, empat tahun lalu. Foto RAJA JAAFAR ALI

Seorang pengusaha pusat mencuci kereta menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohamad Faez Moktar, 33, di akhir kes pendakwaan.



Noor Hayati dalam penghakimannya berkata, elemen milikan dengan pengetahuan terhadap dadah yang terbabit gagal dibuktikan oleh pendakwaan.

“Dalam penilaian saya, rumah di Horizon Hills itu jika tertuduh tinggal di sana pun, ia tidak didiami olehnya seorang diri. Tiada pemerhatian atau pemantauan pernah dibuat untuk membuktikannya ada pergi atau keluar dari rumah di Horizon Hills pada hari serbuan dibuat.

“Oleh kerana dadah dijumpai di Horizon Hills dan kunci dikatakan dirampas daripada tertuduh ketika di Ramada Hotel, maka keterangan bukti mengenai kunci ini akan membentuk naratif kes pendakwaan yang penting untuk mengaitkannya dengan rumah di Horizon Hills itu.

“Kekurangan dalam cara ia dikemukakan telah menjejaskan kes pendakwaan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.



Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah kanabis seberat 2,450 gram (g) manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 338.59g, sementara ketiga, memiliki racun jenis etizolam seberat 1.97g.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pinggiran 2, Horizon Hills, Iskandar Puteri di sini, kira-kira 4.30 petang, 30 Disember 2020.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button