‘Projek Jana Wibawa diteruskan, saya tidak aniaya, zalimi sesiapa’ – Anwar
Kuala Lumpur: “Saya pegang jawatan ini bukan untuk menganiaya, menekan atau menzalimi sesiapa, saya tahu apa erti pendakwaan terpilih.”
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang akan diteruskan khusus untuk membantu golongan Bumiputera.
Anwar mengesahkan Jana Wibawa akan diteruskan dan tidak dibatalkan seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Saya runding semula kerana banyak pelanggaran peraturan kewangan, ada syarikat Cina ‘dibumiputerakan’ kerana dia kebetulan kawan baik di Johor.
“Jadi itu pun nak pertahankan, projek Bumiputera bagi kepada Cina…apa dia, peraturan kewangan apa macam ini.
“Kalau nak bagi projek, saya tidak halang tetapi ini projek khusus Bumiputera, mengelirukan,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, Jana Wibawa dikatakan mempunyai dua fasa di bawah tata kelola Pagoh dan.
“Jana Wibawa fasa 1.0 itu Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Jana Wibawa 2.0 itu Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)…saya tidak ambil kisah.
“Terpulang kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) nak semak..semaklah.
“Saya tak kata harus semak Jana Wibawa 1.0, kalau rasa ada bukti 2.0 bawah Bera.. siasat, saya tidak suruh,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, fitnah dan kecaman boleh berlaku kepada sesiapa saja.
“Saya nak beritahu, saya pegang jawatan ini bukan untuk menganiaya, menekan atau menzalimi sesiapa.
“Saya tahu apa erti pendakwaaan terpilih, Puchong (merujuk Gobind Singh Deo, bekas Ahli Parlimen Puchong) pun ada, dia faham.
“Tetapi mereka cerca kita, tanya penjelasan SPRM dan Peguam Negara, sepatutnya dituju ke situ,” katanya.
Menurutnya, semua pihak harus menilai apa pertuduhan dan bukti sama ada terdapat rasuah atau tidak.
“Ini maknanya seolah-olah rasuah ini perlu dipertahankan kerana dia kawan kita, tengok dulu apa pertuduhan dan bukti, betul atau tidak rasuah.
“Kalau fitnah, tak payah orang Pas, saya sendiri akan bangun menentang fitnah terhadap sesiapa.
“Tetapi kalau benar ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, baca al-Quran, hadis dan kitab kita pertahankan rasuah, di mana pendirian kita,” katanya.
Hari ini, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok berhubung projek Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Pagoh itu bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
SPRM sebelum ini membekukan akaun parti Bersatu dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.
METRO