Skandal 1MDB: Bekas Goldman Sachs, Roger Ng dipenjara 10 tahun

NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dikenakan hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah di sini, pada Khamis kerana terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) dalam kenyataan akhbar pula berkata, jumlah dana yang diminta dipulangkan akan ditentukan kemudian.

Sebelum ini, Roger Ng didapati bersalah membantu dalam skandal penyelewengan dana 1MDB.



Pada April lalu, juri di Mahkamah Persekutuan Brooklyn mendapati Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas orang atasannya, Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, mencuci hasil dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Leissner pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara.

Pada 25 Februari lalu, Roger Ng memohon dia tidak diberikan hukuman penjara dan dibenarkan pulang ke Malaysia.

Dia pernah dipenjara enam bulan di Malaysia sebelum diekstradisi ke AS pada 2018.



Roger Ng dibebaskan dengan ikat jamin, namun dikenakan perintah tahanan rumah sejak disabitkan kesalahannya.

Tuduhan itu berhubung bon kira-kira AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) untuk dijual pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya berkata, AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka, sekali gus mencipta satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.



Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion (RM12.98 bilion) dan unit Malaysianya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Bagaimanapun, Roger Ng mengaku tidak bersalah dan berhujah, bayaran sogokan AS$35 juta (RM157 juta) yang dituduh diterimanya sebenarnya pulangan atas pelaburan yang dibuat isterinya.

Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Roger Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama.

Dia masih belum dijatuhkan hukuman.



“Roger Ng adalah pemain utama dalam skim kurang ajar dan berani yang bukan sahaja menganiaya rakyat Malaysia, tetapi juga berisiko menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, pasaran, perniagaan dan institusi lain pada skala global,” kata Peguam AS, Breon Peace.

“Hukuman hari ini berfungsi sebagai hukuman yang adil untuk jenayah defendan dan amaran bahawa terdapat harga yang besar untuk dibayar untuk rasuah korporat.”

AFP/AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button