Ada apa dengan Zizan, Hawa?
KUALA LUMPUR: Hubungan pengacara, Hawa Rizwana, 27, dan pelakon, Zizan Razak, 39, terus diperkatakan apabila mereka dilihat sering tampil berdua, malah, Zizan kerap memuat naik foto mereka di Instagram (IG), sejak akhir-akhir ini.
Bertanya perkara itu kepada Hawa atau nama sebenar, Hawa Rizwana Ahmad Rezuan, dia menjelaskan, Zizan sekadar teman, malah disifatkan sebagai abang.
“Saya dan Zizan sudah lama berkawan. Saya masih baru dalam industri hiburan. Zizan kuat mengusik, suka kacau dan kongsi foto kami.
“Kami tiada apa-apa pun. Saya anggap Zizan macam abang. Dia ‘senior’ saya dalam industri seni. Malah, saya pernah temubual Zizan.
“Apa yang membuatkan kami sering nampak bersama apabila menjayakan telefilem sempena Aidilfitri arahan Micheal Ang, baru-baru ini,” katanya kepada BH Online.
Mengenai telefilem itu, Hawa yang juga bekas penyampai Buletin Utama (BU) di TV3 berkata, dia melakonkan watak isteri kepada Zizan.
“Jadi, saya adalah ‘heroine’ dan Zizan jadi ‘hero’. Kami jadi suami dan isteri dalam telefilem itu. Cerita komedi romantik ini sangat menarik dan saya gembira dapat bekerja dengan Zizan.
“Ini lakonan pertama saya. Sebelum ini, saya hanya bertugas sebagai pembaca berita dan pengacara.
“Selepas menjadi pengacara program hiburan, Meletop, saya perlahan-lahan memasuki dunia hiburan dan bidang lakonan masih baharu buat saya,” katanya.
Hawa tidak kisah dengan usikan peminat, apatah lagi, dia lebih fokus kepada kerjaya berbanding mencari pasangan hidup.
“Saya tidak kisah pun diusik dengan Zizan. Saya anggap dia macam abang, jadi, saya tak rasa apa-apa dengan usikan itu.
“Keluarga saya tahu saya macam mana, jadi mereka tidak cakap apa-apa,” katanya yang mahu memberi tumpuan dalam meningkatkan kemahiran sebagai pengacara dan pelakon.
BHOnline