Barcelona didakwa beli pengadil

Barcelona: Kelab gergasi La Liga, Barcelona didakwa ‘membeli’ pengadil dengan membuat beberapa siri pembayaran kepada bekas naib presiden jawatankuasa pengadil Sepanyol menerusi syarikat dimilikinya.

Dalam dakwaan oleh pendakwa raya Sepanyol itu, kelab Catalan itu dilaporkan membayar lebih 7.3 juta euro (RM35.18 juta) kepada Jose Maria Enriquez Negreira, bekas pengadil dan naib presiden jawatankuasa pengadil Persekutuan Bolasepak Sepanyol dari 1994 hingga 2018.

Dua bekas presiden kelab itu, Josep Maria Bartomeu dan Sandro Rosell serta Enriquez Negreira kini berdepan dakwaan sama.



Enriquez Negreira didakwa dibayar bagi memberikan nasihat kepada kelab berkaitan isu membabitkan pengadil.

“FC Barcelona mempunyai persetujuan secara lisan dengan Jose Maria Enriquez Negreira yang sangat sulit dan dirahsiakan, dan di atas kapasitinya sebagai naib presiden Jawatankuasa Arbitral Teknikal (CTA), menerusi pembayaran berkenaan, akan melakukan tindakan yang akan memanfaatkan FC Barcelona dalam keputusan dibuat pengadil,” kata pihak pendakwaan di Barcelona.

Siasatan bermula selepas pihak berkuasa Sepanyol mendapati ada sesuatu yang tidak kena dalam pembayaran cukai oleh syarikat Dasnil 95 – yang dimiliki Enriquez Negreira – antara 2016 hingga 2018.



Dasnil 95 dilaporkan menerima bayaran daripada Barcelona sepanjang tempoh itu Menurut stesen radio Cadena Ser, invois terakhir dikeluarkan pada Jun 2018. Selepas itu CTA distruktur semula dan Enriquez Negreira meninggalkan organisasi berkenaan.

Minggu ini, presiden Barca, Joan Laporta menegaskan kelabnya tidak pernah membeli pengadil.

Laporan mendakwa kelab Catalan itu membayar 6.5 juta euro (RM31.34 juta) antara 2001 hingga 2018 kepada firma milik Enriquez Negreira.

“Saya ingin jelaskan Barca tidak pernah membeli pengadil dan Barca tidak pernah mempunyai niat untuk membeli pengadil, tidak sama sekali,” kata Laporta.



Menurut Barcelona, Dasnil 95 dibayar bagi menasihati kelab berkaitan isu pengadilan. Namun pihak pendakwaan mengesyaki wang berkenaan mungkin digunakan untuk merasuah pengadil perlawanan.

Di peringkat bola sepak, Barcelona mungkin tidak berdepan sebarang risiko kerana badan induk bola sepak di Sepanyol, Eropah dan dunia mempunyai statut batasan selama lima tahun, kata Presiden LaLiga, Javier Tebas.

Di peringkat jenayah, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button