Ronaldo bantu mangsa gempa bumi Turkiye, Syria

LONDON: Cristiano Ronaldo sekali lagi menunjukkan keprihatinannya apabila menghantar pesawat khas penuh dengan muatan barangan penjagaan diri dan perubatan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria yang mengorbankan lebih 50,000 nyawa, baru-baru ini.

Ronaldo yang meninggalkan Manchester United pada November lalu untuk menyertai kelab Al Nassr di Liga Saudi sangat terkesan dengan insiden malang itu dan menghantar bantuan berupa khemah, katil, bantal, selimut, makanan serta barangan bayi dan ubat-ubatan kepada mangsa gempa di kedua-dua negara.

Ronaldo, 38, turut memenuhi impian seorang kanak-kanak Syria yang memberitahu pekerja penyelamat yang dia mahu bertemu penyerang sensasi Portugal itu.



Hajat Nabil Saeed tular di media sosial bulan lalu dan dipelawa menyaksikan Al Nassr ketika menewaskan Al Batin 3-1 di Riyadh sebelum Ronaldo bertemu dan bergambar dengan Nabil sebelum perlawanan bermula.

“Apabila saya melihat Ronaldo, saya seperti bermimpi.

“Saya seperti tak percaya. Bilakah mimpi ini akan berakhir, saya tak tahu. Saya berdoa kepada Tuhan ia tidak hanya mimpi. Saya harap semua orang boleh melihat Ronaldo. Dia seorang yang sangat baik,” kata Nabil.



Terdahulu, tragedi pada 6 Februari lalu dengan kekuatan 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan utara Syria menyaksikan ribuan lagi mangsa masih hilang, mengalami kecederaan dan hilang tempat tinggal.

Di Tukiye sahaja, lebih 500,000 penduduk dipindahkan daripada kawasan yang terjejas. Reuters melaporkan 160,000 bangunan musnah atau rosak teruk dalam bencana itu.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button