Penalti Haaland bantu Man City atasi Palace

LONDON: Manchester City kini hanya dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal selepas penalti Erling Haaland memastikan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace.

Skuad kendalian Pep Guardiola bergelut menembusi benteng Palace sehinggalah Haaland menyempurnakan sepakan penalti 12 minit sebelum tamat permainan di Selhurst Park.

Gol ke-34 Haaland dalam semua pertandingan sejak berpindah dari Borussia Dortmund tahun lalu itu sudah cukup untuk memberikan City kemenangan kelima dalam enam aksi terakhir liga.



Dengan tekanan terus diberikan terhadap pendahulu, City kini berharap anak buah Mikel Arteta akan tercicir mata apabila bertandang ke Fulham untuk melengkapkan jumlah perlawanan.

“Memang Arsenal berada pada prestasi terbaik. Tetapi kami masih dalam persaingan.

“Dalam perlawanan musim sejuk yang sukar, kami memenanginya. Berdasarkan pengalaman saya, setiap kali datang ke sini pasti sukar. Kami sentiasa bergelut kerana kami mahu menjaringkan lebih banyak gol.



“Mereka akan melambat-lambatkan permainan jadi kami perlu bekerja keras. Semuanya menggembirakan saya. Ia bukan mudah, mereka bertahan dengan enam orang di dalam kotak penalti dan Erling dikawal oleh dua orang. Ia memerlukan kesabaran,” kata Guardiola.

City tidak berada pada tahap terbaik mereka tetapi kemenangan tipis itu sudah cukup untuk menghalang Arsenal daripada terus menjarakkan diri dalam pemburuan kejuaraan.

Kekasaran Michael Olise ke atas Ilkay Gundogan memberikan sepakan penalti kepada City dan Haaland tampil menyempurnakannya.

Kini Haaland dan rakan sepasukan akan mengalih tumpuan kepada aksi timbal balik 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Leipzig di Manchester pada Selasa, dengan kedudukan terikat 1-1.



Palace masih belum merakam kemenangan Liga Perdana Inggeris dalam 10 perlawanan pada tahun ini, dan hanya berada empat mata di atas zon penyingkiran.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button