Penuntut IKBN maut kemalangan

Jitra: Penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Perlis maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 25.9 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 6.05 petang itu, mangsa, Muhamad Ridwan Md Roslan, 21, dalam perjalanan pulang ke Perlis dari rumahnya di Pendang, Kedah.

Mangsa sebelum itu dipercayai pulang ke kampung sempena cuti hujung minggu dan hendak pulang semula ke IKBN untuk sesi pengajian.



Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Honda HRV dan Nissan X-trail serta motosikal Honda ditunggang mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan sewaktu Honda HRV dipandu lelaki berusia 59 tahun dari arah pekan Jitra menghala ke Napoh memberi isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil barang di but kereta.

“Namun, sewaktu pemandu hendak masuk ke dalam kereta, secara tiba-tiba, motosikal ditunggang penuntut terbabit yang berada di lorong lurus di sebelah kiri jalan terlanggar bahagian belakang kanan Honda HRV berkenaan.

“Berikutan itu, penunggang motosikal terbabit terjatuh di atas jalan dan pada masa sama, Nissan X-trail yang dipandu lelaki berusia 49 tahun yang sedang bergerak lurus dari Alor Setar menghala ke Bukit Kayu Hitam tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Rodzi berkata, pelajar terbabit parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua pemandu kenderaan itu tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button