Raphinha bantu Barcelona atasi Athletic
BARCELONA: Raphinha meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 Barcelona ke atas Athletic Bilbao untuk kembali mengatasi Real Madrid dengan kelebihan sembilan mata di puncak La Liga.
Dalam aksi pertama Barcelona selepas didakwa merasuah pengadil oleh pendakwa raya Sepanyol, kelab Catalan itu seperti tidak menghiraukan masalah di luar padang dan memberi tumpuan kepada usaha untuk memburu gelaran pertama sejak tahun 2019.
Barcelona memastikan perlawanan tanpa bolos ke-19 dalam 25 perlawanan La Liga apabila bertahan untuk kemenangan 1-0 kesembilan musim ini, manakala kedudukan kedua kekal buat Real selepas penyandang juara itu menewaskan Espanyol pada Sabtu.
Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen beraksi cemerlang di babak kedua yang turut menyaksikan percubaan pemain Athletic, Alex Berenguer terkena tiang.
Inaki Williams berjaya membolosi gawang Barca pada lewat permainan, namun gol itu dibatalkan selepas VAR mengesan bola terkena tangan Iker Muniain terlebih dahulu.
“Akhirnya apa yang penting kami bertahan bersama-sama, termasuk di gawang, di atas garisan gol, ini adalah perlawanan yang perlu kami menangi.
“Saya tidak melihat gol yang dibatalkan, tetapi itulah sebabnya kita mempunyai VAR. Ia adalah keputusan yang perlu dilakukan pengadil. Kami sangat gembira untuk mengekalkan satu lagi rekod tanpa bolos,” kata Ter Stegen.
Sementara itu Real Sociedad seri 1-1 menentang Real Mallorca, sekali gus merencatkan usaha mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.
Pasukan bergelut, Sevilla meraih kemenangan 2-1 ke atas Almeria untuk melonjak ke tangga ke-13, dua mata dari zon penyingkiran, manakala lawan mereka di kedudukan ke-19.
AFP