Datuk Roy direman 3 hari
KUALA LUMPUR: Seorang individu dikenali sebagai Datuk Roy direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, selepas mendengar permohonan daripada pihak SPRM dan pembelaan Datuk Roy.
Lelaki berusia 54 tahun itu tiba di lobi mahkamah jam 10 pagi tadi, dengan memakai baju lokap berwarna jingga dan diiringi anggota SPRM.
Sementara itu, peguam bela lelaki berkenaan, Fahmi Abd Moin ketika dihubungi berkata, pihaknya membantah permohonan pihak SPRM yang mahu anak guam direman tujuh hari.
“Kita bantah atas alasan permohonan tidak kukuh. Majistret kemudian membenarkan reman tiga hari hingga 16 Mac,” katanya.
Media melaporkan Datuk Roy ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, pada jam 3 petang semalam.
Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.
Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.
Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.
BHOnline