Parlimen: Kerajaan jamin tidak akan naikkan tarif air – Tuan Ibrahim

 

 

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat terbeban dengan keadaan ekonomi dan situasi pandemik COVID-19 yang belum berakhir, tegas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan akan menanggung kos itu bagi memastikan rakyat terus selesa berdepan situasi kritikal ketika ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa dalam situasi rakyat berdepan dengan bebanan ekonomi yang teruk dan pandemik COVID-19 yang masih belum selesai dan tekanan bebanan hidup, saya ingin beri jaminan kerajaan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat masih terbeban ini.

“Kerajaan akan menanggung kos situasi susah sebagai kerajaan prihatin dengan tawaran (bantuan) pelbagai yang diberi, kita jamin rakyat tidak perlu risau dalam situasi kritikal ini,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.



Beliau menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, sama ada kerajaan dapat menjamin tarif air di Lembah Klang itu tidak naik selepas menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2, kepada Pengurusan Air Selangor.

Tuan Ibrahim berkata sebarang semakan tarif air seluruh negara akan mengambil kira keterlibatan pelbagai pihak dalam pengurusan air dan peranan Suruhanjaya Bekalan Air Negara sebagai badan kawal selia bekalan air, yang akan membuat rundingan dengan semua pihak terlibat.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai adakah tarif air yang dikenakan kepada rakyat ketika ini membebankan, Tuan Ibrahim berkata pada masa ini rakyat membayar peratusan rendah untuk bil air berbanding keperluan asas yang lain.

“Kita harus akui tarif di negara kita rendah berbanding keperluan hidup yang lain. Ketika ini, tarif bil air yang dibayar oleh pengguna untuk sebulan hanya lima peratus berbanding elektrik 34 peratus, komunikasi 17 peratus, saluran TV berbayar 13 peratus dan Internet 28 peratus,” katanya.



Menjawab soalan tambahan Hasanuddin mengenai sejauh mana kerajaan akan manfaatkan sumber-sumber lain untuk memastikan sumber air terawat negara ini mencukupi, Tuan Ibrahim berkata kerajaan sedang mengkaji untuk pewujudan ‘highway air’ bagi menampung sumber keseluruhan negeri dan mencari mekanisme terbaik supaya negeri yang kaya dengan sumber air boleh berkongsi dengan negeri yang kurang sumber air.

“Sebagai rancangan jangka pendek, kita sedang kaji untuk wujudkan loji berhampiran antara dua negeri…contohnya kita sedang runding antara Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya menambah usaha ini akan membolehkan Negeri Sembilan membantu Melaka sekiranya, Melaka berdepan situasi sumber air berkurangan.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker