Gol tunggal Benzema benam Liverpool di Bernabeu
MADRID: Karim Benzema meledak buat Real Madrid bagi mencipta kemenangan 1-0 mengatasi Liverpool seterusnya layak ke suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi menerusi agregat 6-2.
Selepas pertembungan pusingan pertama kelompok 16 terakhir di Anfield pada Februari yang memberikan kelebihan tiga gol buat Madrid, juruatih Liverpool, Jurgen Klopp berkata pasukannya hanya ada satu peratus untuk menukar kedudukan.
Mereka cuba mengubahnya di Santiago Bernabeu namun tidak dapat mencipta kebangkitan seperti dilakukan berdepan Barcelona pada 2019, atau AC Milan pada final 2005.
Madrid kini sudah menyingkirkan Liverpool daripada Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut termasuk mengatasi mereka dalam final tahun lalu.
“Ia perlawanan yang rumit tetapi sejak mula kami menunjukkan bahawa kami mahu mara, dan kini kami di suku akhir,” kata Benzema kepada Movistar.
“Menderita ialah sebahagian daripada bola sepak hari ini. Semua orang mahukan lebih, tapi kadangkala anda perlu menderita dalam perlawanan – paling penting ialah menang dan mara.”
Juara dengan rekod 14 kali itu menunjukkan mereka berupaya menyekat Liverpool dengan pertahanan, Eder Militao dan Antonio Rudiger berazam menidakkan pelawat bersama penjaga gol, Thibaut Courtois.
Juara bertahan itu boleh melebarkan kelebihan mereka tetapi beberapa percubaan diselamatkan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker selain penyudah tumpul disajikan.
Pada pusingan pertama, Madrid nyata bahaya dengan Vinicius Junior dan Benzema masing-masing meledak dua gol namun menemui kesukaran di ibu kota Sepanyol itu.
Bagaimanapun mereka bergabung bagi mendapatkan gol kemenangan Madrid pada minit ke-78 dengan Vinicius terjatuh ketika dia cuba membuat cubaan tetapi berjaya menghantar kepada Benzema yang menampan dengan mudah ke dalam gol.
Liverpool, nyata tidak konsisten pada kempen kali ini, gagal mengggunakan kelebihan selepas menang 7-0 membelasah Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tidak mampu menghasilkan magis di Bernabeu.
Klopp memulakan Diogo Jota bersama trio serangannya Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Cody Gakpo bagi mendapatkan serangan terbaik dalam usaha mencipta kebangkitan.
AFP