Samun peniaga online, dua lelaki ditahan

Iskandar Puteri: Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kes samun di Puteri Harbour di sini, Isnin lalu, yang mana video kejadiannya tular, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya mengesan video tular mengenai samun itu pada semalam, bagaimanapun tangkapan sudah dibuat Isnin lalu.

“Kita mengesan video tular itu semalam dan kita ingin mengesahkan bahawa tangkapan sudah dibuat pada Isnin lalu.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama ditahan pada 10.15 pagi di Horizon Hill dan suspek kedua ditahan 9 malam hari sama di Gelang Patah.



“Hasil siasatan, suspek mengaku terbabit dalam kes pada 9.45 pagi itu dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakan mangsa menggunakan parang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Rahmat berkata, pihaknya merampas RM10,000 yang disamun daripada mangsa yang berniaga secara dalam talian itu.

“Kita juga merampas senjata dan kenderaan yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang cedera di kepala akibat ditetak dan dirawat di hospital swasta di sini, sudah dibenarkan keluar dari hospital.



Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berusia 40 dan 45 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman sehingga Sabtu ini, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah yang dipercayai terdapat tiga lagi yang masih bebas.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini juga diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker