Barangan keperluan naik harga antara 20 hingga 30 sen

Kuala Lumpur: Menjelang empat hari umat Islam menyambut Ramadan, beberapa barangan keperluan utama berlaku peningkatan harga berbanding minggu lalu.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar raya di sekitar ibu kota mendapati, harga ayam hidup meningkat iaitu RM8.69 satu kilogram berbanding RM8.40 minggu lalu manakala ayam proses standard menurun iaitu hari ini RM9.40 sekilogram berbanding minggu lalu RM9.70 sekilogram.

Selain itu, bawang besar kuning naik 10 sen iaitu RM4.50 sekilogram berbanding RM4.40 minggu lalu manakala bawang merah import kekal harga sama RM6 sekilogram.



Peniaga di Pasar Chow Kit dikenali sebagai Kwan berkata, berlaku sedikit kenaikan harga ayam proses berbanding minggu lalu.

“Bagaimanapun, ayam hidup masih kekal harga sama dan perbezaan harga hanya 20 sen hingga 30 sen saja.

“Kebanyakan masyarakat Islam sudah memenuhi pasar untuk mendapatkan keperluan barangan mentah bermula awal minggu ini,” katanya.



Selain itu, hasil tinjauan juga mendapati telur ayam gred A kekal harga RM0.45 sen sebiji manakala bagi gred B RM0.43 biji, gred C pula RM0.41 sebiji.

Bagi pembeli, Junaidah Ahmad, 50, berkata, kebanyakan barangan mentah naik sedikit sekitar 20 sen hingga 30 sen berbanding minggu lalu.

“Contohnya, harga santan biasa RM5.80 minggu lalu, namun hari ini naik RM6 dan begitu juga dengan ayam,” katanya yang juga suri rumah.

Bagi suri rumah, Asmah Hamzah, 40, berkata, dia yang selalu membeli barangan mentah setiap minggu dapat merasakan perbezaan harga.



“Minggu ini kebanyakan barangan naik sedikit berbanding minggu lalu, mungkin kerana menjelang Ramadan.

“Contohnya, kubis bulat minggu lalu berharga RM4 tetapi minggu ini naik RM1 kepada RM5.

“Begitu juga dengan dengan cili hijau, minggu lepas berharga RM10 sekilogram manakala minggu ini berharga RM11.99,” katanya.

Tinjauan juga mendapati, tiada kenaikan harga barangan kawalan seperti minyak serta tepung dan kekal dengan harga sama.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button