United ke separuh akhir Piala FA

Manchester, United Kingdom: Manchester United menempah tempat ke separuh akhir Piala FA menentang Brighton dalam perlawanan yang penuh drama apabila kapten Fulham, Aleksandar Mitrovic dibuang padang kerana menolak pengadil ketika perlawanan berkesudahan dengan keputusan 3-1 di Old Trafford.

Mitrovic dilayangkan satu daripada dua kad merah Fulham dalam masa beberapa saat ketika dia menyerang Chris Kavanagh kerana menghadiahkan penalti kepada United selepas semakan VAR untuk bola tangan Willian.

Pemain Brazil itu juga dibuang padang, bersama pengurus Fulham, Marco Silva yang berada di tepi garisan.



United mengambil kesempatan itu apabila menyumbat dua gol daripada Bruno Fernandes dan gol pertama Marcel Sabitzer untuk kelab itu seterusnya mengekalkan anak buah Erik ten Hag di landasan untuk memenangi tiga piala.

“Mitro harus mengawal emosinya sedikit,” kata Silva. “Jika dia mahu memberi saya kad merah, saya perlu menerimanya kerana dia langsung tidak mendengar kata-kata saya. Apabila saya meninggalkan kawasan saya, saya perlu menerimanya.”

Kemarahan Fulham memuncak berpunca daripada rayuan untuk VAR bagi mendapatkan penalti kerana kekasaran terhadap Mitrovic pada separuh masa pertama tidak dilayan.



“Ia amat memalukan apabila pengadil tidak ditunjukkan VAR pada detik penting separuh masa pertama,” kata Silva.

“Sukar untuk Fulham di Old Trafford, VAR juga merasa tekanannya.”

The Cottagers berada di landasan terbaik untuk mara ke kelompok empat terbaik buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun apabila Mitrovic meletakkan mereka di depan pada awal separuh masa kedua.



David de Gea beraksi dengan luar biasa apabila berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya dari pemain Serbia itu sebelum perlawanan berakhir pada satu insiden 18 minit sebelum tamat.

Namun apa yang dipamerkan oleh barisan pemain United mendapat pujian daripada pengendalinya Erik ten Hag.

“Pasukan ini mempunyai watak yang hebat,” kata Ten Hag selepas pasukannya mengenepikan kepenatan bermain di tempat lawan menentang Real Betis dalam Liga Europa pada Khamis lalu.

“Kami sihat dari segi mental dan fizikal, dan saya gembira dengan kemajuan kami sebagai satu pasukan.”



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button