Harga emas menghampiri rekod tertinggi dalam sejarah

LONDON: Harga emas diniagakan pada rekod tertinggi dalam beberapa mata wang hari ini dan menghampiri rekod tertinggi dalam dolar Amerika Syarikat (AS), selepas ketidaktentuan sektor perbankan membolehkan aset selamat itu melonjak 10 peratus dalam masa hanya beberapa hari.

Saham dan bon perbankan terus menjunam berikutan kebimbangan bahawa lebih banyak masalah akan timbul selepas beberapa bank AS dan bank Switzerland, Credit Suisse mengalami kejatuhan atau perlu diselamatkan.

Dalam harga dolar AS, emas melonjak setinggi AS$2,009.59 berbanding AS$1,815 pada 9 Mac lalu dan menghampiri paras kemuncak AS$2,072.50 pada 2020.



Dalam mata wang lain, rekod harga emas sudah pun dipecahkan.

Emas meningkat melebihi A$3,000 dan 165,000 rupee India buat kali pertama dan diniagakan kira-kira 1,880 euro, hanya 20 euro di bawah rekod tertinggi mata wang berkenaan.

“Semuanya disebabkan risiko lindung nilai,” kata penganalisis StoneX, Rhona O’Connell.

“Sebuah bank Switzerland menjadi pendorong kepada semua aset selamat,” katanya.



“Jika sesuatu berlaku dalam sektor perbankan, anda boleh menjangkakan (harga) emas akan menjadi lebih tinggi.”

Perhatian kini tertumpu kepada mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) pada Rabu.

Kenaikan kadar faedah AS memberikan tekanan kepada emas dengan meningkatkan pulangan kepada aset pesaing seperti bon, namun pelabur kini percaya Fed perlu memperlahankan atau menghentikan langkah mengetatkan dasar untuk meredakan tekanan ke atas bank, walaupun inflasi kekal tinggi.

“Segala-galanya mengenai Fed,” kata ahli strategi MKS PAMP, Nicky Shiels, dalam satu nota penyelidikan, sambil meramalkan kadar faedah akan kekal tidak berubah pada Rabu ini.



-Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button