Paha gadis tertusuk serampang
Kuching: Bomba terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan serampang yang tertusuk paha kanan seorang gadis di Bintulu, awal pagi hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan dari Hospital Bintulu bagi memohon bantuan khidmat khas itu pada 1.37 pagi.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di Hospital Bintulu, didapati seorang gadis tertusuk besi serampang di paha kanannya.
“Bomba bertindak menggunakan peralatan khas (ring cutter) bagi memotong besi serampang itu,” katanya.
Menurutnya, selepas berjaya dikeluarkan mangsa diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, punca kejadian itu tidak dapt dikenal pasti.
METRO