Ronaldo ledak dua gol, pecah rekod dunia

LISBON: Cristiano Ronaldo memecahkan rekod penampilan antarabangsa awal pagi tadi dan menandakan saat itu dengan meledak dua kali ketika Portugal menang 4-0 mengatasi Liechtenstein pada kelayakan Euro 2024.

Pemain berusia 38 tahun itu yang diketepikan daripada kesebelasan utama Portugal pada Piala Dunia Qatar tahun lalu, mencipta kaps ke-197 buat negaranya di Lisbon sebagai pemain kesebelasan utama.

Dia meledak penalti pada minit ke-51 selepas gol awal Joao Cancelo dan Bernardo Silva sebelum sekali lagi menemui gawang hasil sepakan percuma 12 minit kemudian.



Ia adalah rekod jaringan ke-120 Ronaldo buat negaranya dan menjadikan dia pemain lelaki pertama meledak dalam 100 kejohanan antarabangsa kompetitif.

“Rekod ialah motivasi saya,” kata Ronaldo kepada wartawan semalam.

Ronaldo membuat penampilan antarabangsa pertama pada 2003 dan menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia tahun lalu sebelum Portugal tewas kepada Maghribi pada suku akhir.



Dia kini bermain dengan kelab Arab Saudi, Al Nassr selepas penamat yang tidak dimahukan bersama Manchester United.

Penampilan Ronaldo yang masuk dari bangku simpanan ketika tewas kepada Maghribi menyamai rekod 196 kaps milik pemain Kuwait, Bader Al-Mutawa.

Dia meninggalkan padang dengan tangisan selepas kekalahan mengejut 1-0 Portugal berdepan negara Afrika Utara itu.

Sejak meninggalkan Eropah, Ronaldo sudah menemui sembilan gol dalam 10 aksi bersama Al Nassr.



Dia digantikan di bahagian serangan oleh penyerang, Goncalo Ramos pada Piala Dunia dengan pemain muda Benfica itu meledak hatrik pada kelompok 16 terakhir mengatasi Switzerland.

Bagaimanapun jurulatrih veteran, Fernando Santos meletak jawatan selepas kejohanan itu dan bos baharu, Roberto Martinez kembali memberi kepercayaan buat Ronaldo, yang juga kapten pasukan.

Wujud persoalan sama ada karier selama 20 tahun pemain itu sudah tamat di Qatar apabila Ronaldo akan berusia 39 tahun ketika Euro 2024 bermula.

Namun Martinez, yang meninggalkan Belgium selepas Piala Dunia mempertahankan keputusan Ronaldo untuk terus bersama pasukan.



“Saya tidak melihat kepada usia,” kata said Martinez ketika mengumumkan skuad pertamanya minggu lalu.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button