Jaafar Onn terus dipantau doktor
AMPANG : Pelakon dan pengacara veteran, Jaafar Onn, 72, dibenarkan pulang selepas dirawat di Hospital Ampang (HA) di sini, akibat keletihan melampau, sejak Selasa lalu.
Jaafar berkata, keadaannya sudah stabil dan doktor memberi kebenaran untuk berehat di rumah, petang kelmarin.
“Alhamdulillah, saya sudah keluar dari hospital. Keadaan saya baik-baik sahaja. Doktor maklumkan tiada perkara serius yang berlaku,” katanya ketika dihubungi BH Online di sini, hari ini.
Sebelum ini, Jaafar mengaku kepadatan jadual kerja membabitkan program Ramadan dan Aidilfitri menyebabkan dirinya keletihan hingga terpaksa dimasukkan ke hospital.
Jaafar atau nama sebenar, Jaafar Onn Awang berkata, selain kepenatan dan usia meningkat, dia dimasukkan ke hospital berikutan penyakit gout dihidapinya.
“Usia saya sudah menginjak 72 tahun. Semua ini berpunca daripada kesibukan saya menjayakan pelbagai program Ramadan dan Aidilfitri.
“Boleh dikatakan, jadual saya padat dan memerlukan saya pergi ke beberapa negeri. Mungkin disebabkan itu, saya jadi letih.
“Bagaimanapun, itulah tugas saya sebagai pelakon dan pengacara. Apatah lagi, saya ada gout. Ini yang menjadi antara sebab saya perlu ditahan di wad,” katanya.
Jaafar yang juga artis serba boleh berkata, dia masih perlu dipantau doktor buat sementara waktu.
“Saya mahu ambil sedikit waktu untuk berehat selepas penat bekerja. Buat masa ini, saya hanya ikut nasihat doktor.
“Apabila bekerja seperti ini, saya mudah penat sehingga ada ketika, rasa sesak nafas. Jadi, waktu ini saya gunakan sebaik-baiknya untuk berehat,” katanya.
Jaafar menjelaskan, jadualnya sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri dipenuhi pelbagai program yang perlu dijayakan.
“Buat masa ini, saya mahu selesaikan dahulu beberapa projek yang sudah saya persetujui. Selepas itu, barulah saya ambil masa untuk berehat, mungkin selepas Aidilfitri,” katanya.
BHOnline