Pavard, Maignan pastikan kemenangan Perancis
PARIS: Perancis menewaskan Ireland 1-0 di Dublin untuk kemenangan kedua dalam aksi kelayakan Euro 2024, manakala Belanda mengatasi Gibraltar 3-0.
Bek kanan, Benjamin Pavard memecah kebuntuan di pertengahan babak kedua aksi di Lansdowne Road sebelum Mike Maignan memastikan gawang Perancis tidak dibolosi dalam dua minit terakhir.
Ketika permainan berbaki 30 saat di Dublin, penjaga gol AC Milan, Maignan, yang menggantikan bekas kapten, Hugo Lloris, menepis keluar tandukan rakan sepasukan, Jule Kounde.
Ia disusuli sepakan sudut dan Maignan sekali lagi menyelamat gawang Perancis, kali ini daripada percubaan pemain lawan, Nathan Collins.
“Aksi Mike membolehkan kami terus mendahului dan menang tanpa bolos, jadi saya boleh katakan yang dia adalah pemain terbaik perlawanan.
“Saya diberi peluang untuk bermain, ia satu kejayaan, saya menjaringkan gol, walaupun tugas utama pertahanan adalah untuk bertahan,” kata Pavard.
Di Rotterdam, bek tengah Manchester City, Nathan Ake meledak dua kali dalam kemenangan Belanda ke atas Gibraltar, pasukan ranking ke-200 yang terpaksa beraksi 10 orang.
Penyerang Atletico Madrid, Memphis Depay membuka jaringan di babak pertama menerusi tandukan padu sebelum pemain veteran, Liam Walker dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Kapten Belanda, Virgil van Dijk bagaimanapun menganggap pasukannya tidak menjaringkan cukup gol selepas dibelasah Perancis pada aksi pembukaan Kumpulan B Jumaat lalu.
“Kami menjaringkan tiga gol, tetapi sepatutnya kami perlu menjaringkan lebih banyak lagi. Kami perlu menang 10-0 pada perlawanan seperti ini,” kata Van Dijk.
AFP