Lari ikut bumbung pun tetap dicekup

FOTO Ihsan PDRM.

Kuala Lumpur: Cubaan 19 individu melarikan diri dengan memanjat bumbung melalui tingkap di sebuah flat di Jinjang Baru, di sini hari ini, gagal apabila berjaya ditahan polis.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan di premis itu susulan risikan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul terhadap sindiket pengedaran dadah yang aktif di kawasan Sentul.

Katanya, pihak polis melancarkan operasi itu bermula 5 pagi dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan itu, kami menahan sembilan lelaki dan seorang wanita mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.



FOTO Ihsan PDRM.

“Hasil serbuan di kawasan itu juga membawa kepada penahanan seorang lelaki di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dua lelaki di bawah Seksyen 39A(1), 13 lelaki di bawah Seksyen 12 (2) dan seorang lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Semua 27 warga tempatan itu berusia antara 23 tahun hingga 40 tahun, dibawa ke Pejabat BSJND Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut,” katanya.

Yahaya berkata, cubaan 19 individu lari menerusi bumbung berjaya dipatahkan dan pihaknya meminta bantuan bomba untuk memotong pintu empat rumah suspek di tingkat empat flat berkenaan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.

“Kami turut merampas dadah jenis methaphetamin seberat 59.44 gram dianggarkan bernilai RM5,944 serta rampasan lain termasuk dua kereta Perodua Myvi, sebuah motorsikal Yamaha Y15, barang kemas, seutas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM603,” katanya.



FOTO Ihsan PDRM.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

“Malah, semakan dilakukan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan akan direman esok.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, selain Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terbabit dan sumber bekalan diperoleh.



“Dengan penahanan serta rampasan dalam operasi ini, kita berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di kawasan Sentul sejak enam bulan lalu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button