Adam dipenjara 10 tahun, dua sebatan raba adik angkat

Oleh – Syeikh Baran


Adam dipenjara 10 tahun, dua sebatan raba adik angkat
Gambar Hiasan

Perbuatan jelik seorang pembantu kedai makan meraba badan adik angkatnya membawa padah apabila dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhi hukuman itu terhadap Adam Ahmad, 44, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.



Tertuduh juga diperintah menjalani kaunseling sepanjang berada dalam tahanan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan pengawasan polis setelah tamat hukuman penjara.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penggantungan hukuman penjara dan tertuduh diikat jamin RM16,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis dua kali sebulan sehingga rayuan selesai.

Pada prosiding itu, kenyataan impak bertulis mangsa turut dikemukakan kepada mahkamah sebagai eksibit pemberat hukuman.

Peguam Khairul Naim Rafidi dalam mitigasinya berharap fakta kes ini diadili secara saksama dengan merujuk kepada keseluruhan keterangan sepanjang perbicaraan.



“Tiada kekerasan atau kecederaan yang wujud dalam kes ini. Mangsa keluar bersama tertuduh dengan kerelaannya sendiri.

“Mangsa dalam kes ini mempunyai banyak ruang dan peluang untuk menyelamatkan diri, tetapi dia memilih untuk terus berada di rumah tertuduh selama beberapa hari.

“Malah, tertuduh adalah individu yang menghantar mangsa pulang ke rumah dengan selamat,” ujarnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nabilah Abd. Rashid memohon hukuman pemenjaraan yang sewajarnya dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.



“Berdasarkan fakta, jelas hubungan antara mangsa dan tertuduh adalah abang dan adik angkat. Tertuduh adalah individu yang dipercayai oleh mangsa,” katanya.

Turut hadir peguam Jabatan Bantuan Guaman Selangor, Norhayati Johar selaku pendamping guaman bagi mangsa.

Adam didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba mangsa dalam sebuah rumah di Puchong pada 2.30 petang, 12 Oktober 2022.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.



Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil dengan pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh memberikan keterangan daripada kandang saksi sepanjang perbicaraan bermula 22 Ogos tahun lalu.

Sumber – KOSMO!ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading