Pasangan berjoli RM46,000, beli iPhone selepas tipu kad ATM milik pesara

KUALA LANGAT: Ingatkan baik, rupa-rupanya penipu.

Seorang lelaki tergamak mencuri RM46,0000 milik seorang pesara kerajaan dalam bentuk belian barangan dan pelbagai transaksi lain selepas menukar kad ATM warga emas berusia 62 tahun itu dalam kejadian di Banting, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh, berkata lelaki warga tempatan berusia 62 tahun itu membuat laporan pada Isnin lalu, mendakwa kad ATM miliknya ditukar dan digunakan oleh individu tidak dikenali.

Dalam laporannya, beliau berkata, mangsa memaklumkan mahu mengeluarkan wang dari mesin ATM di sebuah bank di Banting, namun kad ATM miliknya tersangkut dalam mesin.



“Seorang lelaki tidak dikenali yang kebetulan berada di lokasi itu menawarkan diri untuk membantu mangsa. Dia berjaya mengeluarkan kad itu sebelum menyerahkannya kepada mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa.

“Pada Isnin lalu, mangsa ke bank lain dan cuba mengeluarkan wang kira-kira jam 9.30 pagi, tetapi tidak berjaya. Dia terus merujuk masalah itu di kaunter bank dan pemeriksaan kemudian mendapati kad itu bukan miliknya.

“Semakan terhadap akaun banknya juga mendapati kad ATM miliknya digunakan beberapa kali untuk membuat belian dan transaksi lain berjumlah RM46,000 dan keseluruhan 23 transaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis yang menjalankan siasatan lanjut mendapati salah satu transaksi dibuat adalah bagi pembelian telefon bimbit bernilai RM3,700 di sebuah kedai di Kapar, Klang.



“Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai jual telefon bimbit itu, menunjukkan ada pasangan lelaki dan wanita dipercayai suami isteri warga tempatan membuat pembelian telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro Max menggunakan kad ATM milik mangsa.

“Mangsa sekali datang membuat laporan polis untuk siasatan lanjut dan polis kini berusaha mengesan suspek lelaki yang berumur awal 30-an. Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997,” kata Ahmad Ridhwan.

Katanya, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan pasangan yang disyaki melakukan pembelian telefon bimbit menggunakan kad ATM milik warga emas terbabit.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker