Awas City, Nunez akan kembali

LONDON: Situasi menyelubungi kecederaan pergelangan kaki Darwin Nunez semakin jelas dengan penyerang Liverpool itu dijangka akan cergas untuk berdepan Man City hujung minggu ini.

Nunez dinamakan dalam skuad Uruguay pada rehat aksi antarabangsa bulan ini namun menarik diri beberapa hari sebelum kunjungan ke Timur Tengah.

Sebaliknya pemain berusia 23 tahun itu menerima rawatan dalam apa yang digambarkan sebagai “potongan di pergelangan kaki,” dialaminya ketika kalah 1-0 di tangan Real Madrid pada perlawanan terakhir Reds.



Liverpool tidak memberikan butiran lanjut mengenai kecederaan Nunez, hanya mengesahkan pemain itu akan melapor diri di Pusat latihan AXA ketika musim berehat seketika.

Kini GOAL melaporkan bahawa kelab itu “menjangkakan boleh mendapat khidmatnya untuk perlawanan hujung minggu” apabila skuad Jurgen Klopp bertandang ke Man City.

Ia pastinya menjadi tonik tambahan apabila Luis Diaz juga bersedia untuk kembali manakala Cody Gakpo sudah pulih daripada jangkitan virus dan beraksi bersama Belanda awal minggu ini.

Tiada isu membabitkan Mohamed Salah, selepas pemain itu dikeluarkan berbaki 15 minit ketika Mesir menang 4-0 berdepan Malawi kelmarin.



Ia menyebabkan Klopp ada banyak pilihan pada suku ketiga perlawanan ketika Roberto Firmino juga tidak disenaraikan bersama Brazil manakala Diogo Jota hanya bermain seketika dalam perlawanan Portugal membelasah Luxembourg 6-0.

Ketika ini, pemain Liverpool yang mengalami kecederaan hanyalah Thiago, Stefan Bajcetic dan Calvin Ramsay manakala Kostas Tsimikas perlu pemantauan lebih lanjut kerana masalah rusuk.

Kurangnya pembabitan Thiago terus mengecewakan pasukan itu apabila pemain Sepanyol berkenaan sudah terlepas lapan aksi kerana kecederaan pinggul dan mungkin pertemuan penting buat kali kesembilan.

Selepas kunjungan Liverpool ke Man City Sabtu ini, mereka akan ke Chelsea (4 April) dan kemudian menanti kehadiran Arsenal (9 April) dengan tiga aksi besar itu dilihat boleh menentukan kedudukan empat teratas. – AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button