Najib Razak gagal semak keputusan rayuan akhirnya
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan yang mengekalkan sabitan serta hukuman kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd yang dikenakan terhadapnya.
Dengan keputusan itu, bermakna bekas Perdana Menteri itu akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya melainkan dia mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada pada 23 Ogos tahun lalu dan jika dibenarkan, memohon perintah supaya dibebaskan atau secara alternatif, rayuan akhirnya didengar panel lain.
Dalam keputusan majoriti 4-1 pagi ini, panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada 23 Ogos tahun lalu.
Keputusan berkenaan dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, yang turut disokong Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais
Manakala, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.
Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong bagi pihak panel lima hakim berkata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan yang betul apabila tidak menarik diri daripada mendengar rayuan Najib tahun lalu.
Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong berkata hak Najib Razak untuk mendapat perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan pada tahun lalu.
Ong berkata peguam Najib ketika itu enggan membuat penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat deimikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel hakim yang akhirnya menolak rayuan tersebut.
Ong merujuk peguam Hisyam Teh Poh Teik yang tidak membuat penghujahan lisan walau diminta berbuat demikian ketika pendengaran tahun lalu.