Ronaldo tayang kereta berharga RM48.15 juta

LONDON: Cristiano Ronaldo dikerumuni peminat ketika dia memandu kereta amat jarang ditemui dan bernilai £8.8 juta (RM48.15 juta) di Madrid.

Ronaldo, 38, bersama hanya sembilan pemilik lain di dunia, memiliki satu daripada kereta paling eksklusif daripada jenama mewah Perancis, Bugatti.

Penyerang Al-Nassr itu berjaya mendapatkan kereta Bugatti daripada model Centodieci itu.



Namun dia tidak dapat menggunakan sepenuhnya 1,600 kuasa kuda kereta berkenaan yang boleh dipandu dengan kelajuan maksimum 386 kilometer sejam kerana dikerumuni peminatnya.
Rakaman video menunjukkan pemenang lima kali Ballon d’Or itu yang memakai seluar dan baju berwarna putih selain jaket gelap memasuki kereta sambil dilindungi pengawal peribadi.

Peminat terdesak untuk cuba bergambar dengan ikon bola sepak itu dan ramai yang berteriak namanya.

Ronaldo kemudian menghidupkan enjin dan perlahan-lahan menggerakkan jentera 8 liter dengan enjin W16 itu.

Ini adalah kali pertama Ronaldo dilihat di khalayak ramai memandu kereta yang dibelinya tahun lalu.

Centodiece – bahasa Itali untuk 110 – dibina sebagai sebahagian ulang tahun ke-110 Bugatti.



Ronaldo, yang juga pelanggan setia jenama itu, berjaya membeli kereta bernombor 7 dalam senarai hanya 10 unit dikeluarkan itu – menyamai nombor jersi yang popular dalam kariernya – dan kereta mewah itu memiliki nombor pendaftaran Portugal.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button