Tren khas ke Pantai Timur sempena Aidilfitri kurangkan kesesakan
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur sempena sambutan Aidilfitri dengan 1,864 tiket ditawarkan.
Sebanyak empat perjalanan tren ekspres yang mula beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya disediakan.
Menurut KTMB dalam satu kenyataan, tiket akan mula dijual bermula 1 April dengan harga RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala.
Pengguna disarankan melakukan pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.
KTMB berkata perkhidmatan itu adalah alternatif kepada pengguna yang pulang beraya ke Pantai Timur menggunakan jalan darat yang sering sesak setiap kali musim perayaan.
“Inisiatif ini juga adalah untuk mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dan juga dengan tambang yang berpatutan.
“Tren Khas Lambaian Aidilfitri ini akan berhenti di 16 stesen iaitu di Stesen Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Gemas, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Wakaf Bharu, Tumpat dan beberapa stesen lain,” katanya.
Terdapat dua jadual bagi tren, perjalanan pertama pada 19 April bermula 11 malam dan berakhir pada 3.53 petang, manakala pada 24 April perjalanan bermula pada 10.50 malam dan akan tiba pada 3.10 petang.
Perjalanan kedua pula adalah pada 20 April bermula pada 11 malam dan akan tiba pada 3.53 petang dan 25 April 10.50 malam dan berakhir pada 3.10 petang.
Tren dilengkapi kemudahan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet dan koc chillax.
Sementara itu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengucapkan terima kasih kepada KTMB di atas inisiatif berkenaan.
“Kementerian Pengangkutan berterima kasih kepada KTMB kerana memberikan penyelesaian kepada warga Pantai Timur untuk pulang ke kampung halaman.
“Kita sedia maklum kesesakan ketika musim perayaan adalah masalah utama negara kita. Perkhidmatan ini dapat memberikan keselesaan kepada orang ramai, kanak-kanak dan warga emas,” katanya.
BHOnline