Mogok di seluruh negara, tak selesai masalah doktor kontrak

GEORGETOWN: Tindakan mogok di seluruh negara yang dirancang dilakukan kumpulan doktor kontrak bukan penyelesaian terbaik kepada sebarang masalah yang timbul mengenai profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain.

Sebaliknya, jika rancangan itu diteruskan, ia boleh menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas selama tempoh penganjuran mogok itu, memandangkan sektor kesihatan adalah perkhidmatan kritikal terutama membabitkan kehidupan manusia dan kesejahteraan sejagat.

Susulan itu, Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU) tidak menyokong tindakan mogok yang bakal dilakukan doktor kontrak termasuk membabitkan graduan perubatan daripada universiti itu.



Presidennya, Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah, berkata ini kerana penganjuran mogok secara amnya boleh menjejaskan perkhidmatan kesihatan terjejas walaupun matlamatnya mahu menyampaikan mesej tertentu kepada pihak berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menyedari isu doktor kontrak berlaku sejak sekian lama dan mengakui permasalahan berkisar doktor kontrak menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat terutama kepada pihak yang terkesan.

Bagaimanapun, katanya, kepentingan umum juga perlu diambil kira kerana tindakan mogok itu akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.



“Jadi, kita meminta penganjur program mogok itu menimbang dan meneliti semula hasrat berkenaan memandangkan sektor kesihatan adalah perkhidmatan kritikal yang membabitkan kehidupan manusia dan kesejahteraan sejagat.

“Memang kita sedar kebanyakan doktor kontrak merungut tiada hala tuju laluan kerjaya, selain sistem kontrak ditawarkan masih tidak jelas dan tiada ketelusan.

“Kita juga sering mendengar luahan dan menerima aduan lebihan kerja kerana beban pesakit yang tinggi dan kekurangan tenaga kerja.



“Justeru, kita berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti semula elaun sistem tugas atas panggilan (on call) dan keperluan serta kepentingan untuk meneruskan sistem tugas atas panggilan ini dengan sewajarnya bagi menjaga kebajikan kakitangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan doktor kontrak di seluruh negara akan tetap meneruskan rancangan untuk mengadakan mogok bermula Isnin hingga Rabu ini meskipun selepas jemaah Kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak pada Jumaat lalu.

Dr Jafri berkata, perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor kritikal, sama seperti petugas kesihatan disebabkan kompleksiti sektor ini serta cabaran, risiko dan kesusahan perlu dihadapi anggota kesihatan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, petugas kesihatan adalah aset utama perkhidmatan kesihatan, susulan itu kerajaan perlu memberi perhatian sewajarnya termasuk imbuhan yang setimpal terhadap perkhidmatan mereka.



“PADU turut mengesyorkan pihak JPA meneliti semula pembatalan biasiswa untuk pelajar perubatan kerana ia sangat memberi kesan kepada pelajar perubatan terutama penuntut golongan B40.

“Kita percaya kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan segala permasalahan dan permintaan ini diteliti sesuai isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

“PADU meletakkan harapan tinggi dan yakin kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa untuk mencari titik noktah terhadap isu doktor kontrak dan beberapa isu yang wujud dalam sektor kesihatan ini,” katanya.

Dr Jafri berkata, isu ini tidak boleh diselesaikan secara sendirian oleh KKM, sebaliknya memerlukan penyelesaian secara integrasi membabitkan semua kementerian berkaitan lain.



BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading