Pelakon gugur kandungan luar nikah, dakwa dianiaya suami
Kuala Lumpur: Demi cinta, sanggup menggugurkan kandungan sehingga membahayakan nyawa sendiri.
Perkara ini nekad dilakukan oleh bekas ratu cantik juga pelakon, Shakila Saiful, 27.
Shakila atau nama sebenarnya Nor Shakila Mohammad Saiful Islam berkata, dia kini menyesali perbuatannya dan mendakwa dirinya diperdaya dan dikhianati suami sendiri.
“Saya sanggup menggugurkan kandungan anak luar nikah kami iaitu janin anak kembar berusia sebulan pada awal tahun lalu walaupun pada awalnya enggan melakukan perbuatan terkutuk ini,” katanya kepada malaysiagazette.
Menurutnya, pujukan keluarga suami yang berlatarbelakangkan agama, dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya mendorongnya melakukan perbuatan terkutuk ini.
Shakila berkahwin dengan suami pada 22 Mei tahun lalu sebagai bukti suaminya menunaikan janji selepas dia menggugurkan kandungan.
Bagaimanapun dia terasa seakan dianiaya apabila suaminya bertindak memfailkan cerai di mahkamah syariah pada 24 November tahun lalu, iaitu kira-kira enam bulan selepas mereka berkahwin.
“Januari tahun lalu, saya disahkan hamil hasil hubungan saya dengan suami yang pada ketika itu masih lagi teman lelaki saya.
“Sejak dari awal mengetahui mengenai kehamilan saya, dia memujuk saya untuk menggugurkan kandungan ini malah kehamilan saya diketahui bapanya yang saya panggil walid kerana suami saya sendiri memaklumkan perkara ini kepada bapanya yang juga seorang tokoh agama bagi mendapatkan pandangan.
“Walaupun saya bertegas untuk tidak menggugurkan kandungan, suami telah memujuk dan meyakinkan saya perbuatan menggugurkan kandungan itu tidak haram dan beliau turut berjanji akan mengahwini saya selepas saya menggugurkan kandungan,” katanya pada satu sidang media semalam.
Turut hadir ialah peguam yang mewakilinya, Faizal Rahman.
Shakila sebelum ini pernah memenangi gelaran Miss Lumiere International World Borneo 2021, Miss India Worldwide Malaysia 2018 (Miss Beautiful Skin) dan Miss Malaysia Kebaya 2017/2018.
Gelaran lain adalah Ratu Kebaya 2017, Ratu Cheongsam 2017 dan Miss Petite Malaysia World 2016 di tempat ketiga yang juga memegang kategori Miss Popularity.
Shakila mengalami keguguran selepas enam bulan berkahwin dan doktor memaklumkan dia mengalami chemical pregnancy iaitu kesan kepada pembuangan kandungan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, lapan hari selepas mengalami keguguran, suaminya memfailkan perceraian di mahkamah syariah atas alasan tidak munasabah sama sekali.
Tindakan suaminya membuatkan dia mengalami tekanan sangat teruk sehingga pernah melakukan cubaan membunuh diri sebelum ini.
“Saya tidak sangka akan diceraikan selepas lapan hari mengalami keguguran. Lebih menyedihkan selepas perceraian difailkan, suami dan keluarganya sudah tidak mempedulikan saya dan membiarkan saya menghadapi masalah ini seorang diri.
“WhatsApp dan panggilan telefon yang saya buat langsung tidak dibalas dan dijawab,” katanya.
Dia kemudian cuba menghubungi bapa mentua di media sosial dan menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
“Bagaimanapun saya dikejutkan dengan ugutan dari individu-individu tidak dikenali. Kami sekeluarga juga turut menerima ugutan bunuh.
“Selain itu, terdapat juga video yang cuba memburuk-burukkan saya di YouTube yang dimuat naik oleh individu tidak dikenali.
“Selepas menerima ugutan dan kecaman, saya telah melantik peguam bagi menasihati diri saya di mana setelah itu saya difahamkan bahawa fatwa yang dirujuk oleh suami saya dan bapanya tidak terpakai kepada saya yang mengandungkan anak luar nikah pada ketika itu,” katanya.
Shakila berkata, dia kini berasa tertipu dengan tindakan suami dan bapa mentuanya itu.
“Jika mereka tidak menyalahgunakan fatwa Perlis dan Pahang, sudah pasti saya tidak akan menggugurkan kandungan saya yang mana doktor sendiri mengesahkan saya mengandungkan anak kembar.
“Saya bukan sahaja kehilangan anak kembar saya tetapi saya juga telah keguguran bayi yang saya kandungkan selepas perkahwinan kami.
“Tujuan saya membuat sidang media bukanlah untuk mengaibkan sesiapa tetapi untuk memberitahu kepada umum hal yang sebenar agar berhati-hati di dalam menerima pandangan agama daripada sesiapa pun kerana pada awal tahun ini saya dapati walid sekali lagi telah menyebarkan mengenai fatwa Perlis dan Pahang tersebut di dalam sebuah forum.
“Saya juga hendak sebarkan kefahaman bagaimana agama digunakan untuk kepentingan peribadi dan berhati-hatilah wanita di luar sana,” katanya.
malaysiagazette