Isteri ND Lala fail cerai?
Bandar Baru Bangi : Isteri pelakon dan penyanyi era 1980-an, ND Lala iaitu Fauziah Sarman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, di sini, hari ini kerana mahu memfailkan perceraian.
Fauziah ketika ditemui dan ditanya mengenai dakwaan suaminya bernikah lagi satu dengan wanita dikenali Siti Munirah Abd Ghani seperti dikongsikan di Instagram berkata, dia tidak tahu bila ia berlaku.
“Tak tahu. Lebih baik tanya pada abang ND sendiri. Dia yang tahu,” katanya kepada Harian Metro.
Sebelum itu, Fauziah hadir di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Seksyen 16, di sini, bersama adik perempuannya, Effi bagi urusan berkenaan, namun diminta ke mahkamah untuk berbuat demikian.
Kelmarin dan hari ini, Fauziah memuat naik gambar wanita terbabit dengan meletakkan keterangan gambar wanita itu adalah isteri suaminya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengapa dia berbuat begitu, Fauziah menjawab tidak tahu.
“Entahlah, tak boleh nak cakap,” katanya dalam nada sebak dan mengesat air mata.
Sementara itu, Effi yang menemaninya berkata, bukan mudah untuk kakaknya membuat keputusan permohonan cerai itu memandangkan usia perkahwinan yang sudah lama dibina dan rasa sayang di hati.
“Usia perkahwinan mereka 34 tahun. Sayang mesti sayang dengan rumah tangga yang dah lama. Tapi, itulah keadaan mungkin, kita tak tahu kan macam mana. Doakan yang baik-baik saja.
“Saya dan kakak ada di sini hari ini secara tiba-tiba. Kakak saya pun sebenarnya berat nak buat keputusan macam ini. Tapi, itulah hati perempuan kan,” katanya.
Fauziah yang hadir mengenakan jubah berwarna hijau gelap kelihatan sugul, namun tetap tersenyum dan lebih banyak berdiam diri.
Terdahulu, Fauziah mendedahkan wajah wanita bernama Siti Munirah Abd Ghani dengan keterangan gambar ditulis ‘penyondol’ di Instagram miliknya
Pada hantaran sama yang dikemas kini semula hari ini, dia memuat naik foto wanita terbabit dengan keterangan gambar ditulis, ‘Isteri Dato’ ND Lala…Datin Siti Munirah Abd Ghani’.
Hantaran itu sekali gus mengesahkan spekulasi mengenai ND Lala bernikah lagi satu selama ini.
Sebelum ini, bapa kepada penyanyi popular, Shila Amzah itu dikaitkan dengan dakwaan kononnya berkahwin baharu dengan wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya.
Difahamkan Siti Munirah bukanlah asing dengan keluarga Fauziah dan ND Lala kerana dia adalah rakan sekolah Shila.
Mereka sama-sama pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, di sini, dan Siti Munirah sering berkunjung ke rumah mereka untuk majlis-majlis tertentu terutama keluarga.
Malah, Shila pernah memuat naik hantaran di Instagram sedang mencari Siti Munirah, baru-baru ini. Ia dipercayai berhubung mengenai spekulasi terbabit.