Bergelar penyanyi, Ryan Bakery nafi diperguna
KUALA LUMPUR: Pempengaruh yang juga selebriti media sosial, Ryan Bakery menepis dakwaan dipergunakan apabila menceburi pelbagai bidang seni selepas menempa populariti.
Ryan berkata, keputusan menyertai bidang lakonan dan terbaru, nyanyian apabila mengeluarkan single Raya Last Minit bersama Andi Bernadee sekadar memberi variasi kepada industri seni.
“Saya masih seorang pereka kandungan. Keputusan menceburi bidang lakonan dan kemudiannya, menyanyi hanyalah mewarnai industri dan bukannya nak bersaing dengan sesiapa.
“Jika selama ini pengikut media sosial melihat saya berlakon, kali ini mereka boleh menonton nyanyian dan video muzik saya.
“Nak kata dipergunakan, itu tidak benar. Ini kerana setiap apa yang dilakukan berdasarkan perbincangan dengan pengurusan.
“Tiada paksaan daripada mana-mana pihak dan segala keputusan hasil perbincangan bersama,” katanya pada majlis pelancaran single dan video muzik single Raya Last Minit, baru-baru ini.
Mengenai reaksinya apabila ada segelintir pihak tidak senang dengan sikapnya yang dianggap tamak, Ryan enggan mengambil peduli kata-kata negatif dilemparkan.
“Saya sudah lali dengan persepsi negatif seperti ini, sejak menjadi pereka kandungan lagi.
“Jika ada perasaan sebegitu, maknanya mereka menghadapi masalah hati.
“Saya mahu memanfaatkan media sosial untuk menunjukkan bakat yang saya miliki. Lagipun, niat saya buat semua ini untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga,” ujarnya yang mahu menjadi penyanyi lagu berunsur humor seperti Jalil Hamid dan Salih Yaacob.
BHOnline